Berbaloi dapat saksikan anak dikalungkan emas di Sukma 2024

Berbaloi dapat saksikan anak dikalungkan emas di Sukma 2024

faizal.salim@nst.com.my

Kuching: Keputusan Norashikin Ahmad dan suami, Saifulnizam Rapani yang berasal dari Johor untuk datang menyaksikan anak mereka beraksi di Sukan Malaysia Sarawak 2024 (Sukma) akhirnya berbaloi.

Ini selepas anak mereka, Khairunnisa Aleeya Saifulnizam, 20, berjaya membuktikan keunggulannya dengan memenangi emas dalam acara lepas beramai-ramai dan turut meraih perak dalam berpasukan.

Ia adalah hadiah istimewa buat kedua ibu bapanya yang meluangkan masa dan wang hadir di bumi kenyalang untuk menyaksikannya beraksi.

Pingat itu juga adalah emas pertama Johor di Sukma 2024 kali ini.

“Saya sangat bersyukur kerana ini adalah Sukma terakhirnya dan dia melakukan yang terbaik untuk Johor. Ini juga pingat emas pertama Johor dalam temasya ini.

“Kami sentiasa hadir di setiap perlumbaan dia, sama ada di sirkit Berbasikal Junior Malaysia atau Kejohanan Kebangsaan,” kata Norashikin, 44.

Sementara itu Saifulnizam, 47, berkata bahawa dia dan isterinya melihat Khairunnisa mempunyai potensi besar untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi dan sejak itu mereka sentiasa memberikan sokongan.

“Sejak umur 12 tahun, kami sudah dapat melihat potensinya, jadi kami memutuskan untuk memberikan sokongan yang dia perlukan.

“Akhirnya keputusan kami untuk ke Sarawak bagi memberi sokongan kepada Khairunnisa adalah berbaloi.

“Kami berharap dia akan terus cemerlang pada masa hadapan, bukan sahaja dalam berbasikal tetapi juga dalam pelajarannya,” kata Saifulnizam, yang turut membawa kedua-dua anak lelakinya dan adik Khairunnisa bersama ke Sarawak.

Khairunnisa bagaimanapun tidak dapat menambah koleksi pingatnya hari ini dalam acara kriterium wanita selepas menamatkan perlumbaan di tempat keempat dengan 10 mata.

Nur Fitrah Shaari dari Kedah meraih 20 mata untuk memenangi perlumbaan, mengatasi Yeong Zhen Yi dari Wilayah Persekutuan yang mengumpul 13 mata, manakala Ameera Alya Md. Zahiruddin dari Terengganu memenangi pingat gangsa selepas memperoleh 12 mata.

© New Straits Times Press (M) Bhd