Berenang dengan pelampung, sudahnya wanita ini hanyut di laut

Berenang dengan pelampung, sudahnya wanita ini hanyut di laut

Tokyo: Seorang wanita China, baru-baru ini, hanyut di laut ketika berenang dengan pelampung (rubber ring) sebelum diselamatkan 36 jam kemudian, kira-kira 50 batu nautika dari pantai.

Metro UK melaporkan wanita warga China berusia 20-an itu dilaporkan hilang dari perairan pesisir pantai di wilayah Shizuoka di tengah Jepun, pada petang Isnin minggu lalu.

Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan tidak lama kemudian, kata pegawai Pengawal Pantai Jepun tempatan.

“Pada 7.55 malam, 8 Julai, kami menerima maklumat selepas rakan wanita itu melaporkan kepada kedai serbaneka berhampiran bahawa wanita itu hilang,” tambahnya.

Sebuah kapal kargo akhirnya melihat dia terapung di hujung selatan semenanjung Boso Chiba pada 7.48 pagi pada Rabu, kata pegawai itu.

Sebuah kapal tangki berada di lokasi berhampiran segera dihubungi melalui radio, sebelum dua anak kapal itu terjun ke laut untuk menyelamatkan wanita berkenaan.

Wanita itu kemudiannya diangkut oleh helikopter pengawal pantai dan dibawa pulang ke darat.

Penyelamatan helikopter dirakam dan video itu dikongsi dengan orang ramai. Wanita itu dilihat ditarik masuk ke dalam pesawat sebelum dia melambai ke arah kru kapal tangki berada di bawah.

Wanita itu yang tidak dinamakan, memberitahu penyelamat bahawa pelampung menghanyutkannya ke laut dalam dan cuba berusaha tetapi tidak dapat kembali ke pantai.

Pengawal pantai berkata, berkemungkinan sebab arus laut atau angin deras menghanyutkannya dan pelampung dipakainya menjadikan wanita itu lebih sukar mengawal arahnya.

Menurutnya, wanita itu mengalami dehidrasi, namun dalam keadaan sihat.

“Wanita itu dibawa ke hospital sebagai langkah berjaga-jaga tetapi tidak perlu dimasukkan ke wad. Wanita itu bertuah kerana terselamat walaupun berdepan bahaya strok haba, hipotermia pada waktu malam atau tidak dilanggar kapal dalam gelap,” katanya.

Ahli kanan Persatuan Penyelamat Air dan Penyelidikan Survival, Hidetoshi Saito dalam temu bual di televisyen berkata, kelangsungan hidup wanita itu adalah satu ‘keajaiban’.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top