Bergandingan Dengan Zaidi Omar, Aizat Saha Bawa Watak Penuh Emosi Dalam Filem Pendek ‘Tok Babah’

Bergandingan Dengan Zaidi Omar, Aizat Saha Bawa Watak Penuh Emosi Dalam Filem Pendek ‘Tok Babah’

Pempengaruh yang kini bergelar pelakon, Aizat Saha tampil dengan naskhah filem pendek berjudul ‘Tok Babah’.

Merupakan sebuah naskhah yang menyentuh emosi mengenai kehilangan insan tersayang, Aizat membawakan watak Hakim, seorang cucu yang menjaga datuknya yang menghidap Alzheimer.

“Saya mengambil masa dalam dua minggu setengah untuk memahami dan mendalami watak Hakim dalam naskhah ini.

“Rasa kehilangan itu sangat besar dan berat, jadi saya harus sampaikan dengan penuh rasa,” ujar Aizat yang menyahut cabaran membawa watak berat ini.

Malah, selepas trailer ditayangkan, netizen mula memberikan komen positif dan tidak sabar untuk menyaksikan persembahannya.

Filem pendek ‘Tok Babah’ yang diterbitkan oleh jenama pakaian milik Aizat, HeetamPuteh dan Goldeneight, mengangkat tema kekeluargaan dan persahabatan, berlatarbelakangkan Ramadan dan Aidilfitri.

Ia mengisahkan hubungan Hakim yang semakin tegang dengan rakan-rakannya kerana tanggungjawabnya menjaga Tok Babah, lakonan Zaidi Omar.

Pengarah Anam Azizani berjaya menggabungkan elemen kasih sayang, penerimaan dan keutuhan hubungan kekeluargaan dalam kisah ini.

Selain Aizat Saha dan Zaidi Omar, filem pendek ini turut menampilkan pelakon muda berbakat seperti Bibi Qairina, Elyshia Abegail, Zarif Ghazzi, Mal Hamka, Sabrina Azmi, Khalique, dan Baihaqi.

Bagi memberikan impak yang lebih mendalam, lagu ‘Seribu Tahun’ nyanyian Imran Ajmain dipilih sebagai lagu tema.

“Filem pendek ‘Tok Babah’ ini menyampaikan mesej yang mendalam kepada mereka yang pernah mengalami kehilangan. Harapan kami agar semua terus menyokong karya kami kini dan pada masa akan datang,” kata Aizat yang juga bertindak sebagai penerbit.

Scroll to Top