razis@mediaprima.com.my
RAMAI yang terpegun melihat aksi wanita tempatan ini memanjat tembok tiruan dalam kejohanan CRANK Lead 2024 baru-baru ini untuk bersaing dengan peserta dari luar negara.
Pada usianya baru mencecah 18 tahun, Shareen Mohd Nasran dilihat begitu tenang dan bersahaja biarpun perlu menempuh laluan mencabar yang menuntut kekuatan fizikal dan mental yang tinggi.
Sesekali Shareen bergayut menggunakan sebelah tangan sambil sebelum melonjakkan badannya untuk mencapai ‘climbing hold.’
Bagi Shareen yang sudah didedahkan dengan sukan ekstrem itu seawal usia lapan tahun lagi, ia bukanlah satu perkara yang sukar.
Nampak seperti mudah, namun hakikatnya teknik seumpama itu memerlukan proses latihan panjang untuk dikuasai seorang pendaki tembok profesional.
Kini, selepas satu dekad, pelbagai kejayaan yang diraih termasuk pernah memenangi tempat pertama bagi kategori terbuka Bouldering Wanita di Kejohanan Wall Climbing Peringkat Kebangsaan pada tahun lalu.
Malah anak bongsu daripada tiga beradik ini turut aktif membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa dengan menyertai pertandingan termasuk di China, India dan Singapura.
Shareen berkata, pembabitannya dalam sukan lasak itu disifatkan umpama jatuh cinta pandang pertama selepas diberi peluang memanjat tembok tiruan kecil di sebuah kedai peralatan mendaki.
“Kakitangan di kedai itu terkejut melihat kemampuan saya memanjat tembok tiruan itu kerana bukan mudah untuk dilakukan seorang kanak-kanak berusia lapan tahun.
“Sejak itu, hampir setiap minggu saya akan ke kedai terbabit untuk cuba memanjat tembok tiruan yang disediakan. Kemudian saya dicadangkan untuk cuba memanjat tembok tiruan yang lebih mencabar di Putrajaya Challenge Park.
“Ibu kemudian membawa saya ke sana dan sejak itu saya tidak menoleh belakang dan mula ketagih selain jatuh cinta dengan sukan ini sehingga ke hari ini,” katanya.
Menurutnya, dia mula menyertai pertandingan memanjat tembok tiruan seawal usia sembilan tahun dengan bersaing peserta remaja dan dewasa.
“Pada ketika itu, tiada kategori khas untuk kanak-kanak jadi saya sertai pertandingan bagi kategori dewasa sebagai pengalaman.
“Satu perkara yang menarik dengan sukan ini, komuniti mendaki sentiasa memberi sokongan antara satu sama lain sehingga ke hari ini. Biarpun saya masih kecil, mereka sentiasa membantu, tidak lokek berkongsi ilmu dan bersaing secara sihat,” katanya.
Shareen berkata, keseronokan dalam sukan mendaki adalah kepuasan yang diperoleh selepas berdepan dengan cabaran.
“Mendaki adalah seperti permainan ‘puzzle’ yang memerlukan pendaki mengatur strategi dalam menentukan laluan yang betul. Apabila berjaya mencantumkan semua ‘puzzle’ ini, ia memberikan kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
“Selain itu, sukar untuk seseorang itu bosan dengan sukan ini kerana ia sentiasa berkembang dengan menyediakan pelbagai laluan mencabar yang menuntut teknik dan kemahiran berbeza,” katanya.
Tambahnya penyertaannya dalam pelbagai pertandingan mendaki tembok tiruan di dalam mahupun luar negara banyak membantu membina kekuatan mentalnya untuk sentiasa bersaing secara sihat.
“Pada awal pembabitan dalam sukan ini, setiap kali pertandingan saya sentiasa berasa gugup sehingga mengganggu fokus ketika mendaki.
“Bagaimanapun selepas semakin banyak menyertai pertandingan, saya dapat mengawal perasan dan berasa lebih tenang,” katanya.
Katanya, sukan ini banyak membantu membentuk dirinya menjadi seorang individu yang lebih baik dalam berdepan pelbagai cabaran mendatang.
“Untuk menjadi pendaki baik, saya perlu menjadi seorang yang mempunyai keinginan untuk belajar dan tidak mudah berputus asa apabila melakukan sebarang kesilapan.
“Sikap ini diaplikasikan dalam kehidupan sebenar yang memerlukan saya sentiasa berdepan dengan cabaran bukan melarikan diri (dari cabaran),” katanya.
Shareen mengakui di awal pembabitannya dengan sukan ini, tidak ramai wanita kerana beranggapan ia memerlukan kekuatan semata-mata sehingga takut ingin mencuba.
“Sebaliknya, sukan mendaki sebenarnya memerlukan lebih daripada itu termasuk teknik, kemahiran, kekuatan mental dan bijak. Sebenarnya kelebihan wanita dalam sukan ini adalah memiliki keseimbangan, teknik dan kawalan yang tinggi.
“Kini selepas banyak pertandingan dan pendedahan dibuat, saya lihat semakin ramai wanita yang meminati sukan ini,” katanya.
Ditanya perancangan masa hadapan, dia ingin terus aktif dengan sukan ini dengan menyertai lebih banyak pertandingan di dalam dan luar negara.
“Untuk itu, saya perlu sentiasa mempersiapkan diri dengan menjalani latihan dari semasa ke semasa supaya sentiasa dalam keadaan terbaik dari segi kekuatan fizikal dan mental,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
