norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon juga usahawan, Adam Corrie Lee Abdullah, 58, tidak menganggap platform Threads sebagai ‘lubuk’ toksik sekiranya perkongsian dibuat berlandaskan niat yang baik.
Menurutnya, apabila seseorang sentiasa percaya setiap hantaran dikongsikan di media sosial itu adalah perkara baik, maka Allah SWT akan memberi kebaikan yang kekal terpelihara.
“Platform media sosial mana yang orang tengok tidak toksik? Bagi saya apa-apa yang kita hendak tulis kena sentiasa berlandaskan niat. Justeru, saya ingatkan niat kita kena betul kerana Allah, dan insya-Allah akan dilindungi.
“Bahkan, insya-Allah juga kalau kita sentiasa doa yang baik-baik, maka yang baik itulah akan datang kepada kita. Jadi, saya tidak anggap platform media sosial ini adalah medan toksik sebab kalau kita sendiri tidak sampaikan perkara baik, siapa lagi?
“Oleh itu, saya selalunya memang fikir dulu banyak kali apa yang hendak ditulis. Bila sudah habis tulis, saya tidak terus muat naik, biasanya akan baca betul-betul semula dulu dan sampai rasa puas,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Adam Corrie, apabila didapati tidak ada apa-apa kesalahan termasuk dari sudut bahasa maka itu bermakna hantaran ditulis sudah boleh dimuat naik di media sosial serta pasti tiada orang akan terasa hati.
“Apa yang penting, penulisan kita itu tidak menyindir orang lain. Macam saya, terus-terang sangat berhati-hati pada setiap penulisan yang dibuat. Gaya bahasa juga saya pastikan mengguna perkataan baik-baik dan tersusun.
“Ini kerana, saya tidak mahu hantaran yang dikongsikan di Threads itu akan buat orang lain terasa dan sakit hati. Saya pun bukan muda lagi dan seharusnya bijak mengawal perasaan sebagai orang dewasa. Dalam soal perasaan ini, saya kena tenang dan selalu menjaga niat,” katanya.
Adam Corrie yang juga seorang koreografer tari dan pelakon lagak ngeri memeluk Islam kira-kira 19 tahun lalu selepas mendapat hidayah melalui mimpi susulan doanya mencari pegangan hidup.
Mengulas mengenai karier lakonan, lelaki asal Pulau Pinang ini memberitahu dia masih minat berlakon sekiranya mendapat tawaran watak didapati sesuai serta menerima bayaran setimpal dengan komitmen diberi.
“Alhamdulillah, saya masih minat berlakon lagi, tetapi bergantung kepada tawaran yang sesuai. Cuma, tidaklah saya selalu berlakon sekarang kerana perlu mengutamakan perniagaan kopitiam yang diusahakan sejak dua tahun lalu.
“Buat masa sekarang ini, perniagaan kopitiam saya sudah mempunyai 23 cawangan di seluruh negara dan ia memerlukan komitmen serta fokus untuk memastikan terus berkembang maju lagi,” katanya.
Terbaharu, Adam Corrie akan membintangi filem The Real Mamu arahan bersama Zulkifli Abu Hassan dan Dharma Nasution yang dibarisi pelakon seperti Saiful Apek, Didie Alias, Nur Risteena, Wan Raja, Wafariena, Zairi Aziz dan ramai lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




