sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berpendapat ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski wajar mempertimbangkan peluang berkelana ke England sekiranya benar beliau menjadi calon utama untuk membimbing sebuah kelab di negara berkenaan.
Menurutnya, peluang itu boleh menjadi medan terbaik buat pengendali kelahiran Australia itu untuk membina semula reputasinya selain meneruskan karier di peringkat lebih kompetitif.
“Kalau dia ada peluang macam itu, eloklah dia pergi. Dia pun perlu menjaga reputasinya dan peluang seperti itu perlu digunakan sebaik mungkin walaupun di divisyen bawahan.
“Cklamovski bukan rakyat Malaysia, dia orang Australia. Jadi, jika ada peluang untuk mendapatkan semula kepercayaan dan membina reputasinya, saya rasa itu sesuatu yang baik untuk dirinya,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.
Mengulas sama ada perpindahan itu juga baik buat kedua-dua pihak, Pekan berpandangan bola sepak negara ketika ini memerlukan nafas baharu termasuk dalam aspek kejurulatihan.
“Macam saya cakap tadi, tak apalah, eloklah dia pergi. Kita pun mahu melakukan transformasi baharu dan mungkin memerlukan jurulatih baharu.
“Kita mahu memperbaiki imej bola sepak negara, daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sehingga kepada Harimau Malaya. Mereka yang terbabit sebelum ini perlu dinilai semula sekiranya kita benar-benar mahu memulakan perubahan,” katanya.
Semalam, nama pengendali dari Australia itu menjadi bualan peminat selepas wartawan The Telegraph, Mike McGrath melaporkan bahawa Cklamovski berada dalam senarai calon kelab berkenaan.
Untuk makluman, kelab yang dimaksudkan itu adalah Salford City yang ketika ini beraksi dalam Liga Dua, iaitu divisyen keempat bola sepak England.
Malah, kelab itu juga dimiliki oleh bekas bintang Manchester United, Gary Neville dan David Beckham.
© New Straits Times Press (M) Bhd




