Beri masa kepada Jonassen – Chong Wei

Beri masa kepada Jonassen – Chong Wei

sukan@hmetro.com.my

Georgetown: Legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei menegaskan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen wajar diberikan masa secukupnya untuk membawa perubahan kepada pemain perseorangan negara.

Chong Wei berpandangan jurulatih dari Denmark itu memiliki perancangan yang baik, namun perlu ruang untuk menyesuaikan diri dengan budaya tempatan dalam usaha membina barisan pemain pelapis mantap.

“Saya sendiri ada berjumpa dia, kita bincang bagaimana boleh bantu pemain utama perseorangan negara dan dia ada idea yang sangat bagus.

“Tapi kita kena bagi dia masa, bukan satu bulan, bukan satu tahun, kita kena bagi sekurang-kurangnya satu penggal.

“Satu penggal itu dalam empat tahun, baru dia boleh jalankan dan beri hasil yang kita harapkan, lagipun dia baru datang (menjadi jurulatih negara) tidak sampai enam bulan.

“Macam anak baru lahir, nak tunggu berjalan pun ambil masa setahun. Inikan pula nak lahirkan juara dunia,” katanya.

Chong Wei berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas dikurniakan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Datuk Seri dalam Istiadat Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang 2025 bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-84 Yang di-Pertua Negeri, Tun Ramli Ngah Talib di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau mengakui prestasi perseorangan lelaki negara pada ketika ini dilihat berada pada tahap membimbangkan apabila dipisahkan jurang agak jauh jika dibandingkan dengan pemain utama dunia lain.

“Kita ada Lee Zii Jia baru pulih dari kecederaan, kita juga ada Ng Tze Yong tetapi sekarang dia menjalani pembedahan di Doha, Qatar dan harap dia cepat sembuh, kembali lebih kuat.

“Persembahan mereka pun nampak masih belum stabil, begitu juga Leong Jun Hao yang macam ‘roller coaster’ ada turun naik,” katanya.

Sebelum ini, bekas jurulatih skuad kebangsaan, Wong Tat Meng menegaskan Malaysia berisiko berdepan krisis dalam acara perseorangan jika tiada tindakan segera diambil terhadap kerapuhan dalam sistem pembangunan pemain remaja negara.

Amaran tegas itu disuarakan Tat Meng, 58, susulan semua wakil negara terkandas pada peringkat suku akhir saingan individu Kejohanan Badminton Remaja Asia 2025, Ahad lalu.

Bagaimanapun, Chong Wei menaruh harapan agar skuad pelapis negara dapat bangkit segera bagi berdepan Kejohanan Remaja Dunia, tahun depan dengan bekas jurulatihnya, Datuk Tey Seu Bock turut akan membantu pasukan.

“Tetapi mereka kena cepat kejar balik sebab situasinya tak sama macam pemain senior yang boleh tunggu empat tahun.

“Kita harap dapat keputusan lebih baik pada Kejohanan Remaja Dunia tahun depan,” katanya.

Terdahulu, beliau yang dilahirkan di Parit Buntar, Perak dan membesar di Bukit Mertajam menyifatkan anugerah diterima itu amat bermakna dan menyuntik motivasi buat dirinya untuk terus memberi sumbangan dan berkongsi pengalaman dimilikinya dalam arena sukan badminton tanah air.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top