Beri ruang Ammara belajar – Eira Syazira

Beri ruang Ammara belajar – Eira Syazira

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi, Eira Syazira meluahkan rasa kesal terhadap tindakan segelintir pihak yang melemparkan kecaman terhadap anaknya, Ammara Sofea Rose yang kini bertanding dalam program Talk To My Manager musim kedua (TTMM2).

Menerusi hantaran di Instagramnya semalam, Eira atau nama sebenarnya Syazira Sarimah Sakinah Almera Shuhaimi, 42, menyifatkan usia 13 tahun sebagai fasa penting untuk seorang anak mengenali dunia, membina keberanian dan mengejar impian mereka.

“Jangan patahkan sayapnya hanya kerana emosi kebencian. Cara sesetengah orang menghukum dan membenci anak 13 tahun ini seolah-olah dia telah melakukan kesalahan atau jenayah yang besar,” tulisnya.

Menurut Eira, anaknya itu hanyalah seorang anak kecil yang sedang berusaha mencari ruang untuk berkembang serta menimba pengalaman.

“Sedangkan dia cuma seorang anak kecil yang sedang cuba mencari keberanian, pengalaman dan ruang untuk berkembang. Biarkan dia terbang, belajar dan membesar menjadi versi terbaik dirinya,” tulisnya lagi.

Dalam pada itu, Eira turut menegur sikap segelintir netizen yang seolah-olah hilang pertimbangan dalam memberikan kritikan sehingga mengabaikan nilai kemanusiaan.

“Kritik boleh, tapi janganlah sampai hilang rasa kemanusiaan. Kadang-kadang kita ini lupa untuk memanusiakan manusia.

“Terlalu sibuk menghakimi, menyindir dan mencari salah orang lain hingga lupa diri sendiri juga manusia yang penuh kekurangan dan tidak sempurna,” kongsinya.

Dalam hantaran yang sama, Eira turut memuat naik tangkap layar komen-komen netizen yang mempertikai kelayakan Ammara sebagai peserta TTMM2 selain berpendapat dia yang sepatutnya tersingkir berbanding Althea.

Ammara menyertai program TTMM2 bersama bapanya, Azad Jasmin selaku pengurusnya.

Selain Ammara, TTMM2 turut disertai Adira bersama anak perempuannya Anggrek, Ani Maiyuni & Viviana, Datuk A. Aida & Azeva, Datuk Fazley & Fariedz Fazley, Datuk Seri Vida & Cik B, Jamilulhayat & Hussain, Linda Jasmine & Ratu dan Safura & Kim.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top