KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah agar Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah diberikan ruang untuk terus memimpin negeri ini sehingga ke akhir penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 tanpa sebarang kacau-ganggu yang merencatkan segala perancangan telah dirangka.
Baginda juga mengingatkan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk meletakkan keutamaan rakyat berbanding kepentingan peribadi.
Titah baginda, sidang DUN sewajarnya dimanfaatkan sebagai platform terbaik untuk menjana idea-idea baharu, bernas dan konstruktif ke arah memajukan Perlis serta memperkukuh kesejahteraan rakyat secara berterusan dan bukan sebagai medan bercakaran atau bertikam lidah.
“Beta ingin mengingatkan ahli-ahli yang berhormat sekalian bahawa kerajaan ini adalah kerajaan beta.
“Justeru, beta berharap Menteri Besar diberikan ruang untuk terus memimpin sehingga ke akhir penggal DUN Ke-15 tanpa sebarang kacau-ganggu yang akan merencatkan segala perancangan dirangka.
“Berhujah dan berbahaslah dengan penuh kebijaksanaan tanpa terpengaruh dengan desakan emosi. Sentiasalah beringat bahawa generasi muda sedang memerhatikan setiap gelagat ahli-ahli yang berhormat sekalian,” titah baginda sempena perasmian penggal persidangan keempat DUN Perlis ke-15 di Kompleks Seri Putra, di sini, hari ini.
Berangkat sama, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Baginda seterusnya menyeru ADUN untuk memberikan kerjasama erat dan berterusan kepada Menteri Besar dalam memastikan kelancaran pentadbiran serta keberkesanan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan.
“Segala perbezaan pandangan dan pertelagahan perlu diselesaikan dengan penuh berhemah dan harmoni. Kestabilan politik merupakan satu kriteria sangat penting yang akan memberi kesan kepada keyakinan pelabur untuk melabur di negeri ini.
“Justeru beta menyeru, ahli-ahli yang berhormat sekalian mengenepikan ego masing-masing dan mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri beta,” titah baginda.
Baginda turut menitahkan semua pihak terus berganding bahu, memperkukuhkan perpaduan dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah serta iltizam demi kemajuan negeri ini.
“Beta berdoa semoga negeri Perlis dan seluruh rakyat jelata sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT serta terus menikmati keamanan dan kemakmuran yang berkekalan,” titah baginda.-UTUSAN




