am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan hari ini memutuskan untuk memperluas perlindungan subsidi bil elektrik kepada pengguna domestik dengan penggunaan sehingga 800 kilowatt jam (kWj) sebulan, berbanding 600 kWj sebelum ini.
Langkah itu berkuat kuasa bagi penggunaan elektrik mulai September hingga 31 Disember ini, sebagai tindakan segera kerajaan menangani tekanan kos sara hidup rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, melalui langkah berkenaan, pengguna domestik yang menggunakan elektrik sehingga 800 kWj sebulan akan diberikan perlindungan membabitkan pengecualian Pelarasan Kos Bahan Api Automatik (AFA), Caj Peruncitan dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (Sales & Service Tax).
“Sekalung penghargaan khususnya kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Suruhanjaya Tenaga (ST) atas peranan mereka dalam memungkinkan langkah ini diambil dalam kadar segera.
“Keadaan jerebu serta cuaca yang lebih panas mutakhir ini mendorong peningkatan penggunaan elektrik dalam kalangan sebahagian isi rumah, menyebabkan penggunaan bulanan mereka melepasi paras 600 kWj dan menyebabkan kenaikan bil yang luar biasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, Kerajaan MADANI akan terus memantau rapi perkembangan kos bahan api dan keadaan pasaran tenaga semasa bagi memastikan sebarang keputusan berkaitan tarif elektrik mengambil kira keseimbangan antara kemampuan dan beban hidup rakyat, keterjaminan bekalan elektrik dan kemampanan sektor tenaga negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd
