razis@hmetro.com.mu
Kuala Lumpur: Pegawai awam yang bakal mencapai umur persaraan wajib dinasihati tidak mengambil mudah urusan semakan gaji akhir dan rekod perkhidmatan kerana perkara itu boleh memberi kesan kepada faedah persaraan diterima.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dalam kenyataan berkata, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah kelayakan menerima Pergerakan Gaji Tahunan (PGT) yang diawalkan sekiranya seseorang pegawai bersara paksa kerana mencapai umur persaraan wajib sebelum Tarikh Pergerakan Gaji (TPG).
Katanya, pegawai yang bakal bersara perlu memastikan maklumat perkhidmatan dan gaji akhir mereka tepat serta lengkap bagi memastikan urusan dan pengiraan faedah persaraan dapat dilaksanakan berdasarkan rekod yang betul.
“PGT yang diawalkan itu oleh memberi kesan kepada gaji akhir seseorang pegawai. Gaji akhir itu pula menjadi asas kepada pengiraan faedah persaraan tertentu termasuk Ganjaran Perkhidmatan, Pencen Bulanan dan Award Wang Tunai Gantian Cuti Rehat (GCR).
“Justeru itu, pegawai awam dinasihatkan supaya membuat semakan gaji akhir dan rekod perkhidmatan kerana perkara itu boleh memberi kesan kepada faedah persaraan yang diterima,” katanya.
Wan Ahmad Dahlan turut mengingatkan pegawai tidak menunggu sehingga hampir tarikh persaraan untuk membuat semakan terbabit.
“Mereka perlu menyemak rekod perkhidmatan lebih awal bersama pihak pengurusan sumber manusia di jabatan masing-masing dan memastikan maklumat penting adalah tepat serta lengkap.
“Antara maklumat yang perlu disemak dalam rekod perkhidmatan ialah tarikh lahir, nomborKumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tarikh lantikan tetap atau sementara, tarikh pengesahan dalam jawatan, tarikh pemberian taraf berpencen, kelulusan percantuman perkhidmatan jika ada, umur opsyen bersara wajib serta maklumat gaji akhir,” katanya.
Menurutnya, untuk membuat semakan, pegawai masih boleh berhubung dengan jabatan terakhir masing-masing.
“Jika berkaitan, dokumen permohonan penyelarasan faedah persaraan berdasarkan gaji akhir terkini boleh dikemukakan oleh jabatan kepada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP)walaupun selepas tarikh persaraan,” katanya.
Wan Ahmad Dahlan turut menekankan bahawa persediaan persaraan perlu dibuat lebih awal, bukan sahaja dari sudut kewangan dan kesihatan, tetapi juga dari aspek ketepatan rekod perkhidmatan dan dokumen persaraan.
“Persaraan ialah satu fasa penting selepas bertahun-tahun berkhidmat kepada negara. Semakan dan persediaan lebih awal membantu memastikan urusan persaraan berjalan lancar dan faedah yang layak diterima dikira berdasarkan maklumat yang tepat,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, penjawat awam yang baru bersara wajib selepas mencapai had umur persaraan perlu mengambil perhatian terhadap dua ketetapan penting berhubung kenaikan gaji tahunan (KGT) bagi memastikan pengiraan faedah persaraan dibuat secara tepat.
Bahagian Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan memaklumkan, jika pegawai sudah menerima satu KGT pada tahun akhir persaraan, amaun berkenaan secara automatik dijadikan sebagai gaji akhir bagi tujuan pengiraan faedah persaraan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
