Berjauhan Selama Tiga Bulan, Amyra Rosli Reda & Sokong Amar Baharin Berkayuh Ke Makkah Menunaikan Umrah

Berjauhan Selama Tiga Bulan, Amyra Rosli Reda & Sokong Amar Baharin Berkayuh Ke Makkah Menunaikan Umrah

Pelakon popular, Amyra Rosli, mengakui bukan mudah baginya untuk menerima keputusan suaminya, Amar Baharin, yang bakal menyertai misi berbasikal Kembara Makkah pada April ini.

Menurut Amyra, pada awalnya dia berasa berat hati kerana Amar akan meninggalkan keluarga selama tiga bulan, namun akhirnya dia reda dan memberikan sokongan penuh.

“Memang susah nak terima pada mulanya kerana tempohnya terlalu lama. Tapi Amar maklumkan lebih awal, jadi saya ada masa untuk bertenang, memahami dan muhasabah diri,” katanya.

Sebagai isteri, Amyra sedar peranannya bukan sekadar menyokong, tetapi juga memastikan suaminya berangkat dengan hati yang tenang.

“Kalau saya tak beri sokongan, macam mana dia nak teruskan perjalanan ini dengan yakin? Akhirnya, saya serahkan segalanya kepada Allah dan hanya mampu mendoakan agar urusannya dipermudahkan,” ujarnya.

Walaupun berlapang dada, bintang drama Sekam Di Dada itu tidak menafikan rasa bimbang tetap ada, namun meminta agar Amar sentiasa berkongsi perkembangan perjalanannya sepanjang misi ini.

“Tipulah kalau saya kata tak risau. Tapi saya percaya Amar sangat berhati-hati. Saya cuma pesan, selagi tidak mengganggu perjalanan, harap dia boleh ‘update’ atau telefon saya dan anak-anak,” katanya lagi.

Untuk menjayakan misi ini, Amar akan berbasikal ke Makkah bersama pendaki Gunung Everest, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin.

Difahamkan, idea ini tercetus selepas mereka sering berbasikal bersama sehingga 200 kilometer seminggu.

Scroll to Top