HANYA bermodalkan RM200 dan beroperasi di sebuah bengkel kecil peninggalan ibu mertua, nama Nor Hathmina Ibrahim, 57, kini bukanlah nama asing dalam dunia perniagaan makanan tempatan.
Produk keluaran syarikatnya, Hazra Jaya Food Enterprise yang bermula tahun 1994 semakin mendapat tempat dalam masyarakat malah telah menembusi pasaran Brunei, Arab Saudi, Afrika dan bakal membawa produk ke Itali serta Washington melalui kerjasama strategik bersama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Nor Hathmina dinobatkan juara Anugerah Usahawan KEDA 2025.
Kejayaan ini bukan datang bergolek. Ia dibina dengan titik peluh dan keyakinan jitu Nor Hathmina setelah melalui pahit manis dalam perniagaan sehingga dinobatkan juara Anugerah Usahawan KEDA 2025.
Memulakan bicara, ibu kepada enam cahaya mata ini berkata, Hazra Food menawarkan produk siap dimakan atau pes masakan yang bukan sahaja memudahkan gaya hidup moden malah untuk wanita berkerjaya yang sibuk serta pengembara.
Ia juga selari dengan kepesatan ekonomi dunia yang memerlukan makanan segera dalam sebarang keadaan.
“Produk seperti ini boleh diberikan sebagai bantuan makanan kecemasan kerana mempunyai ketahanan selama dua tahun tanpa pengawet. Pihak kami turut bekalkan produk ini kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan NGO selain menyumbang secara peribadi kepada mangsa-mangsa banjir dan bencana alam,” katanya.

Nor Hathmina (tiga dari kanan) dan suami (tiga dari kiri) bersama barisan pengurusan dan warga kerja Hazra Food.
Hazra Jaya Food Enterprise ditubuhkan atas dasar tanggungjawab fardu kifayah untuk menyediakan sos dan kicap halal keluaran Muslim.
“Pada ketika itu, produk seumpama keluaran Muslim amat kurang di pasaran. Kami bekalkan produk ke kantin sekolah, dewan makan dan kafe universiti yang tidak mempunyai pembekal bumiputera. Langkah berani ini membuahkan hasil apabila Hazra mendapat tempat di hati pelanggan dan beri impak positif kepada syarikat,” ujar Nor Hathmina.
Menurutnya, bengkel kecil yang dijadikan tempat memproses produk dinaik taraf sedikit demi sedikit sehinggalah berubah kepada sebuah kilang.
“Sejak mula beroperasi sehingga tahun 2010, semuanya menggunakan modal sendiri.
“Pada tahun 2009, syarikat mula membuat pes masakan dan produk pertama adalah Pes Sambal Tumis Serbaguna, kemudiannya berkembang kepada lebih 10 produk berasaskan pes masakan,” kata anak kelahiran Kepala Batas ini.
Sepanjang lebih 30 tahun dalam perniagaan, Nor Hathmina tidak terlepas daripada jatuh bangun dalam dunia niaga termasuk berdepan krisis ekonomi.
“Yang penting jangan putus asa, berdoa dan amanah dalam bisnes. Pelanggan perlu dijaga sebaiknya kerana mereka adalah penyumbang kepada syarikat. Jaga hubungan dengan ALLAH SWT dan manusia,” nasihatnya.
Nor Hathmina berkata, tahun 2020 menjadi titik perubahan apabila syarikat menerima geran pemadanan mesin retort berkapasiti 750 liter dari Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).
“Dengan teknologi ini, Hazra memasuki industri produk siap dimakan dan menawarkan khidmat servis retort serta kontrak pengilangan (OEM).
“Kami turut mendapat bantuan MADA untuk fakta nutrisi. Seterusnya kilang menerima geran dari MADA untuk penambahbaikan premis, bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran,” ujarnya yang mendapat sokongan suami yang juga rakan kongsi perniagaan, Abdul Rahim Ibrahim.
Nor Hathmina bukan sahaja mengeluarkan produk sendiri, malah menyediakan khidmat servis OEM yang turut menjadi tunjang pendapatan utama, dengan peningkatan pendapatan lebih 200 peratus pada tahun lepas.
“Hazra bukan hanya hasilkan produk sendiri, tetapi juga membantu ramai pengusaha lain mengkomersialkan produk mereka.
“Hazra mencatat pencapaian membanggakan apabila menerima pelbagai anugerah, antaranya tempat ketiga SDSI 2015, Persijilan ISO 22000 (2024) serta Peningkatan status syarikat kepada Hazra Global Sdn Bhd (2024),” katanya.
Dengan permintaan yang semakin meningkat dan ruang pengeluaran sedia ada tidak lagi mencukupi, Hazra bercadang membina kilang baharu serta memenuhi piawaian pensijilan antarabangsa bermula tahun depan.
“Ini bukan sekadar pelaburan untuk syarikat, tetapi peluang untuk tawarkan lebih banyak pekerjaan dan membantu pengusaha kecil berkembang bersama,” ujarnya.