PUCHONG: Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli tidak menolak kemungkinan lebih ramai ahli Parlimen akan menyertai parti itu selepas beberapa wakil rakyat meninggalkan parti masing-masing.
Rafizi berkata, beliau bagaimanapun tidak boleh menjawab bagi pihak ahli Parlimen lain kerana keputusan mereka untuk menyertai Bersama bergantung kepada pendirian masing-masing.
Menurutnya, mereka tidak pernah memaksa mana-mana wakil rakyat untuk membuat langkah tersebut.
“Bersama terbuka menerima mana-mana individu yang mahu menyertai parti itu berdasarkan keputusan serta kehendak mereka sendiri tanpa sebarang paksaan.
“Setakat ini saya tidak mengetahui sama ada terdapat Ahli Parlimen lain yang sedang mempertimbangkan untuk menyertai Bersama pada masa ini.
“Saya tidak menafikan perkembangan politik semasa mungkin mempengaruhi pendirian sesetengah wakil rakyat, terutama berkaitan hubungan mereka dengan kepimpinan parti masing-masing,” katanya pada sidang akhbar bekas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen di Ibu pejabat Bersama, hari ini.
Tambah Rafizi, kira-kira 60 peratus keahlian Bersama ketika ini terdiri daripada individu yang tidak pernah menyertai mana-mana parti politik sebelum ini.
Katanya, bekas ahli PKR pula membentuk kira-kira 25 peratus keahlian Bersama, manakala 15 peratus lagi terdiri daripada bekas ahli parti-parti lain.
“Ahli daripada parti lain itu termasuk UMNO, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), dan Parti Amanah Negara (Amanah), manakala bekas ahli DAP membentuk kurang daripada satu peratus.
Rafizi berkata, jumlah keahlian Bersama kini mencecah kira-kira 29,200 orang selepas dua bulan setengah penubuhan parti tersebut.
“Kita menjangkakan jumlah keahlian akan melepasi 30,000 orang menjelang hujung minggu ini sebelum menyasarkan 50,000 ahli pada akhir Oktober,” katanya. –UTUSAN
