am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Kerajaan negeri Kelantan sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
RUU berkenaan bagi menggantikan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) (I) 2019 susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2024 membatalkan 16 peruntukan dalam enakmen itu.
Ia dibentangkan Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, semalam, dan dibahaskan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
RUU berkenaan mengandungi 62 fasal serta satu jadual yang berkaitan kesalahan takzir dan hukuman di bawah hukum syarak yang diluluskan selepas bacaan kali ketiga.
Menteri Besar, Mohd Nassuruddin Daud dalam penggulungannya hari ini berkata, RUU berkenaan adalah satu naskah perundangan yang diberi nilai tambah dengan penuh ketelitian dan melalui pelbagai peringkat sehinggalah dibawa ke Dewan Persidangan.
Katanya, keistimewaan RUU itu terletak pada pembugarannya yang berpaksikan Maqasid Syariah di mana setiap peruntukan kesalahan disusun rapi demi memastikan setiap denyut perundangan selari dengan objektif syariat Islam.
“Pendekatan itu bukanlah suatu langkah yang asing kerana ia adalah roh yang sedia wujud dalam EKJS (1) 2019 dan ia diperkemas serta diperkukuh susunan supaya tampil lebih sistematik, lebih jelas dan berwibawa.
“Kesalahan syariah berhubung penjagaan agama, kita mahu rakyat Kelantan terpelihara akidah daripada perkara berkaitan dengan 11 fasal yang disenaraikan seperti khurafat, membuat dakwaan palsu berkaitan agama, terpelihara dari percubaan keluar agama, tidak memperlekeh ajaran atau syiar agama, tidak mengkafirkan sesama Islam termasuk tidak mengabaikan akidah anak atau kanak-kanak di bawah jagaan.
“Kesalahan syariah berkaitan penjagaan diri dan maruah, kita mahu rakyat Kelantan selamat dari pengaruh budaya songsang komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang semakin dinormalkan dalam masyarakat,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Mahkamah Persekutuan pada Mac 2024 mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.
Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan berkenaan selepas membenarkan petisyen dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.
Tengku Maimun dalam penghakiman panel berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana DUN membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

