BERSAMA umum calon PRN Johor, Jumaat ini

BERSAMA umum calon PRN Johor, Jumaat ini

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) yang diterajui dua pemimpin utama, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad akan umumkan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Jumaat ini.

Rafizi berkata, proses tapisan calon sudah selesai dan pengumuman akan dibuat di Johor Bahru secara langsung jam 9 malam.

Beliau berkata, calon yang diumumkan lebih berkualiti daripada parti lain termasuk yang sudah bertapak lama dalam arena politik tanah air.

“Kita sudah selesaikan tapisan calon untuk (PRN) Johor, saya rasa bersyukur kerana saya yakin calon yang kami umumkan minggu depan ini lebih berkualiti dari parti yang berpuluh-puluh tahun yang ada, semua orang akan terkejut.

“Tunggu minggu depan, Jumaat bila kita perkenalkan calon macam biasa, ‘live’, semua tunggu jam 9 malam dari JB.

“Saya boleh beritahu sepanjang saya dalam PKR pun susah untuk dapat calon yang tampil dengan BERSAMA dan yang sanggup letak jawatan besar-besar untuk bersama dengan kita,” katanya ketika berucap sempena Jelajah Kancil Kelantan di sini, malam ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima lebih 300 permohonan untuk menjadi calon dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan sejak seminggu lalu.

Katanya, pemohon perlu melalui beberapa proses termasuk mengisi maklumat peribadi serta hadiri temu duga.

Katanya, pemilihan untuk menjadi calon sangat cerewet dan soalan yang diajukan dalam sesi temuduga adalah secara rawak berdasarkan maklumat peribadi.

“Yang tampil nak jadi calon ini hampir semua bukan orang politik tapi rakyat biasa.

“Saya terkejut tengok sebab kat Kelantan ada lebih kurang 12 yang tampil, bukan calang-calang, semua profesional,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top