KUALA LUMPUR – Rundingan pembahagian kerusi Parti Wawasan Negara (Wawasan) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka setakat ini berjalan secara positif.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, perbincangan berhubung perkara itu turut melibatkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
“Saya boleh sebutkan ialah kita dalam proses perundingan.
“Ya dan setakat ini sangat positif,” katanya ketika sidang akhbar selepas selesai Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ketua-Ketua Bahagian (Penaja) Parti Wawasan Negara di sini pada Jumaat.
Sebelum ini, Presiden parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, Wawasan berhasrat bertanding pada PRN Melaka akan datang untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi wakil rakyat yang kini menjadi ahli parti itu.
Katanya, kerusi DUN terbabit ialah Bemban dan Sungai Udang.
Dalam pada itu mengulas mengenai lantikan berkenaan, Saifuddin berkata, Wawasan melantik 160 Ketua Bahagian Penaja di seluruh negara dengan setiap bahagian diberikan sasaran mengumpulkan sekurang-kurangnya 1,000 ahli.
Menurutnya, ketua bahagian berkenaan turut diberikan tugasan menubuhkan jawatankuasa penaja bahagian masing-masing.
Bagaimanapun katanya, pelantikan Ketua Wanita dan Ketua Pemuda Kebangsaan ditangguhkan buat sementara waktu dan dijangka diumumkan dalam beberapa hari lagi.
“Pelantikan ketua bahagian penaja mengambil kira kepelbagaian demografi penduduk di setiap kawasan Parlimen.
“Kita sebagai sebuah parti yang berwajah Malaysia mengambil sikap meraikan kedudukan pengundi-pengundi dan rakyat di setiap kawasan Parlimen.
“Terdapat juga wanita yang dilantik sebagai ketua bahagian penaja selain beberapa muka baharu dalam politik,” katanya.
