BERSAMA WIRA bantu anggota ATM memerlukan

BERSAMA WIRA bantu anggota ATM memerlukan

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) semalam melancarkan kempen BERSAMA WIRA bagi mengukuhkan lagi komitmen terhadap misinya untuk memajukan kesejahteraan sosioekonomi anggotanya.

Inisiatif itu membolehkan orang ramai memberi sumbangan kembali kepada wira negara selaras dengan pendekatan keseluruhan.

Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi berkata, penerima bantuan termasuk keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menghadapi penyakit kritikal atau menanggung kesusahan kewangan di kem ATM di seluruh negara.

Beliau berkata, dana yang dikumpul akan disalurkan untuk menyediakan pakej barangan yang mengandungi keperluan harian dan asas yang diperoleh daripada Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA), sebuah perbadanan milik penuh LTAT yang mengendalikan rangkaian kedai runcit untuk anggota ATM dan keluarga mereka.

“LTAT sentiasa teguh dalam memajukan kesejahteraan sosioekonomi anggota dan kami mengambil pendekatan pelbagai serampang, bukan sahaja melalui strategi pelaburan teguh yang menjamin nilai jangka panjang tetapi juga melalui inisiatif prestasi sosial berimpak tinggi yang menyentuh kehidupan komuniti angkatan tentera kami.

“Kempen BERSAMA WIRA mencerminkan komitmen itu dan sejajar sepenuhnya dengan nilai MADANI iaitu belas kasihan, keterangkuman dan tanggungjawab bersama,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, pihaknya mewujudkan platform untuk semua rakyat Malaysia memberi sumbangan kembali kepada wira negara yang mendedikasikan hidup mereka untuk menjaga kedaulatan negara.

“Wira-wira ini yang mendedikasikan hidup mereka untuk menjaga kedaulatan dan keselamatan kita, bukan sahaja layak dihormati tetapi juga sokongan kolektif kita pada masa memerlukan.

“Bersama-sama, kita dapat memastikan pengorbanan mereka dihargai dengan keprihatinan yang nyata dan impak yang bermakna,” katanya.

Kempen itu dilancarkan secara rasmi Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Azizan Ariffin bersama Mohammad Ashraf semasa Forum WIRA yang diadakan di Royale Chulan di sini.

Forum julung kali itu berfungsi sebagai platform untuk dialog dan pertukaran idea bagi memelihara keharmonian dan kedaulatan negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top