KOTA TINGGI: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tenggara lumpuh selepas diisytiharkan bubar serta-merta susulan tindakan peletakan jawatan dan keluar parti lebih 40 orang barisan kepemimpinannya hari ini.
Keputusan sebulat suara itu menyaksikan Pemangku Ketua Bersatu Bahagian Tenggara, Aidil Ahmad bersama seluruh kepimpinan bahagian, ahli jawatankuasa (AJK) bahagian, kepimpinan sayap dan ahli jawatankuasa sayap meletakkan jawatan masing-masing dan keluar daripada parti itu.
Beliau berkata, tindakan tersebut merupakan kemuncak kepada rasa kecewa yang berpanjangan terhadap kepimpinan tertinggi parti di peringkat pusat dan negeri yang didakwa gagal mendengar suara akar umbi serta memenuhi harapan ahli.
Keputusan ini bukan dibuat kerana emosi, tekanan atau kepentingan peribadi. Kami mengambil pendirian bahawa maruah, prinsip dan integriti perjuangan tidak boleh dikompromi.
”Oleh itu, kami memilih untuk berundur secara terhormat daripada terus berada dalam sebuah organisasi yang tidak lagi selari dengan prinsip perjuangan yang kami yakini,” katanya pada sidang akhbar di Taman Sri Saujana malam tadi.
Sementara itu, bekas Setiausaha Bersatu Bahagian Tenggara, Abu Bakar Ahmad berkata dua cawangan yang mempunyai kira-kira 100 orang ahli kini bertindak menyatakan sokongan kepada Parti Wawasan Negara (Wawasan).
Menurutnya dua cawangan yang terlibat adalah Cawangan Jalan Kota Tinggi dan Cawangan Kota Tinggi Selatan. – UTUSAN




