Empat pasukan buru sejarah di Stadium Merdeka

Empat pasukan buru sejarah di Stadium Merdeka

Kuala Lumpur: Empat pasukan terbaik musim ini hanya dipisahkan satu perlawanan daripada melakar sejarah apabila bersedia berentap pada Grand Final Super Schools Rugby (SSR) 2026 di Stadium Merdeka.

Keyakinan itu dizahirkan barisan jurulatih dan kapten setiap pasukan ketika sesi media menjelang aksi kemuncak musim yang menyaksikan finalis SSR Premier dan Super Academy Rugby (SAR) berkumpul buat kali terakhir sebelum turun beraksi.

Aksi final SSR Premier bakal menemukan dua kuasa besar ragbi sekolah negara, Victoria Institution (VI) dan SMS Hulu Selangor (SEMASHUR), dalam ulangan final edisi 2023.

Pertembungan itu bukan sekadar merebut Piala Cabaran Tan Sri Wan Aziz, malah kedua-dua pasukan berpeluang muncul pasukan pertama menjulang tiga kejuaraan SSR sejak kejohanan diperkenalkan pada 2013.

Dalam saingan SAR pula, Akademi Ragbi Selangor (ARAS) bakal berdepan SMK King Edward VII (KEVII) dengan kedua-dua pasukan memburu gelaran pertama, sekali gus menambah satu lagi babak baharu dalam pembangunan ragbi sekolah negara.

Ketua Jurulatih KEVII, Mohd Taufiq Abd Rani berkata, kejayaan mara ke final adalah hasil kesinambungan budaya kecemerlangan yang dibina generasi terdahulu, manakala kaptennya, Muhammad Aniq Aidil menegaskan disiplin menjadi kekuatan utama pasukan sepanjang musim.

Jurulatih ARAS, Mohd Faiz Ali pula menyifatkan peluang beraksi di Stadium Merdeka sebagai detik istimewa buat pasukannya, sementara kapten Muhammad Haziq Darwisy bertekad tidak mahu mensia-siakan peluang kedua beraksi di pentas final.

Bagi VI, Pengurus pasukan Nik Mohd Sidek percaya kelebihan beraksi di Stadium Merdeka yang sinonim dengan sejarah sekolah itu mampu menyuntik motivasi tambahan, manakala kapten Muhammad Muhaimin Zulkarnain menegaskan disiplin dan semangat kesukanan menjadi pegangan utama mereka.

Sementara itu, Ketua Jurulatih SEMASHUR, Mohd Hafizul Saiful Anuar berkata, pasukannya kekal fokus kepada satu perlawanan pada satu masa sepanjang musim, manakala kapten Muhammad Uwais Irwan mengakui seluruh pasukan bertekad mencipta sejarah sebagai pasukan pertama memenangi tiga kejuaraan SSR.

Selain menjadi pentas penentuan juara, Grand Final SSR 2026 di Stadium Merdeka turut melambangkan perkembangan pesat ragbi sekolah negara.

Sejak diperkenalkan pada 2013, SSR berkembang daripada kejohanan enam pasukan kepada platform pembangunan bakat paling kompetitif di Malaysia, sekali gus terus melahirkan pemain berkualiti untuk masa depan sukan ragbi negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top