am@hmetro.com.my
Nilai: BERSATU akan membentuk sebuah gabungan baharu yang lebih hebat bersama parti-parti lain selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata, ia akan turut membabitkan beberapa pihak termasuk parti dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) antaranya Putra dan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI).
“Saya nak berikan gambaran bahawa selepas PRN Negeri Sembilan ini, BERSATU tidak berseorangan lagi.
“Insya-ALLAH kita akan bentuk satu gabungan yang hebat selepas pilihan raya ini.
“Sebagaimana yang saya sebutkan sewaktu saya menubuhkan Perikatan Nasional (PN) dulu, banyak pemimpin yang datang dan antaranya Presiden Parti Urimai, Prof Dr P Ramasamy yang nyatakan kesediaan untuk bersama-sama,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BERSATU dalam PRN Negeri Sembilan, di sini, hari ini.
Turut hadir Naib Presiden Datuk Dr Radzi Jidin, Presiden PUTRA Datuk Dr Ibrahim Ali dan kepimpinan Bersatu pusat dan negeri serta Ketua Armada BERSATU, Muhammad Hilman Idham.
Muhyiddin berkata, mereka sudah berbincang mengenai konsep kerjasama yang boleh dibentuk dalam tempoh kurang setahun.
“Ini bagi membolehkan mereka lebih bersedia dengan kekuatan yang baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya.
Bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun tidak menjelaskan mengenai kedudukan parti itu dalam Perikatan Nasional (PN) sama keluar daripada gabungan itu atau sebaliknya.
Beliau turut mendakwa PAS membiarkan parti itu ‘terkontang-kanting’ apabila gagal meneruskan rundingan pembahagian kerusi menjelang PRN Negeri Sembilan.
Menurutnya, PAS pada mulanya memanggil mesyuarat bagi membincangkan agihan kerusi, namun ia tidak diteruskan sehingga menyebabkan BERSATU diketepikan daripada proses membuat keputusan.
“Sebaik tamat PRN Johor dan tinggal beberapa hari sebelum PRN Negeri Sembilan, mereka memanggil mesyuarat kononnya untuk bincang pembahagian kerusi.
“Tetapi mesyuarat tidak berlangsung kerana tak dapat putuskan, sepatutnya ada mesyuarat lagi tetapi mereka tidak buat.
“Mereka berunding sesama sendiri dan tinggalkan kita begitu sahaja. Terkontang-kanting kita dibuatnya,” katanya.
Muhyiddin turut mempersoalkan tindakan kepimpinan PN yang didakwanya membuat rundingan dengan parti lain tanpa membabitkan semua parti komponen gabungan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




