fahmy.azril@bh.com.my
Kuala Lumpur: Dua wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dipecat serta-merta, manakala enam lagi digantung keahlian masing-masing selama dua penggal pemilihan oleh Lembaga Disiplin parti itu, hari ini.
Setakat jam 7.30 malam, mereka yang dipecat terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis. Kedua-duanya adalah ADUN di Kedah.
Enam wakil rakyat BERSATU yang digantung keahlian pula membabitkan lima Ahli Parlimen dan seorang ADUN iaitu Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Ketereh, Kelantan, Datuk Khlir Mohd Nor dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Kelantan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Turut dikenakan tindakan sama ialah Ahli Parlimen Rompin, Pahang, Datuk Khalib Abdullah; Ahli Parlimen Lumut, Perak, Nordin Ahmad Ismail dan ADUN Chenderoh, Perak, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain.
Berdasarkan notis, tindakan disiplin itu berkuat kuasa hari ini, yang mana turut dinyatakan tindakan mengikut Fasal 22.5 dengan semua wakil rakyat dikenakan penggantungan bagi tempoh dua penggal pemilihan parti.
Notis berkenaan ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Displin BERSATU, Datuk Mohd Radzi Manan, yang turut menyatakan tindakan disiplin berkenaan adalah sama iaitu melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan BERSATU dan kod etika serta tatakelakuan ahli.
Berikutan itu, mereka secara langsung dilucutkan segala jawatan yang dipegang dan tidak boleh membuat sebarang kenyataan atas nama parti, sehingga tamat tempoh penggantungan, menurut notis berkenaan.
Bagaimanapun, wakil rakyat yang digantung termasuk dipecat boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk tempoh pertimbangan dalam masa 14 hari dari tarikh notis dikeluarkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




