Pandangan Sultan Selangor berasas, penternakan khinzir perlu kawalan ketat -PM Anwar

Pandangan Sultan Selangor berasas, penternakan khinzir perlu kawalan ketat -PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan aktiviti penternakan babi tidak boleh dijalankan secara sewenang-wenangnya tanpa kawalan ketat, terutama jika berada berhampiran kawasan penempatan penduduk.

Pandangan baginda berasas

Memetik laporan daripada Astro Awani, Anwar menyatakan pandangan dizahirkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu tersebut adalah berasas susulan pelbagai masalah yang berlaku sehingga menjejaskan kesihatan awam.

Tuanku Sultan Selangor berkenan mengemukakan pandangan kerana apa yang berlaku sekarang terlalu banyak keterlanjuran, menjejaskan kesihatan awam dan kurang pengawalannya,” katanya dalam sidang media penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-48, pada Jumaat.
Anwar berkata, beliau secara prinsip tidak bersetuju jika penternakan khinzir dibangunkan terlalu hampir dengan kawasan penduduk dan menegaskan operasi tersebut perlu dikawal secara ketat.
“Pada prinsip saya tidak setuju umpamanya penternakan khinzir itu di mana-mana (penempatan)… mesti kawalannya ketat, mesti kawasan yang jauh daripada penduduk.
“Bukan sahaja penduduk Muslim, penduduk Cina pun tidak mahu duduk di kawasan tersebut, jadi biar jauh sedikit…itu satu,” ujarnya.

Tekankan penggunaan teknologi moden

Selain itu, beliau turut menekankan penggunaan teknologi moden dalam operasi penternakan bagi memastikan tiada pencemaran berlaku.

“Kedua, teknologi itu mesti canggih. Selain itu, jaminan pencemaran… maknanya tidak berlakunya pencemaran,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar mengakui kerajaan sukar untuk menolak industri tersebut sekiranya pengusaha mampu memenuhi syarat ketat yang ditetapkan pihak berkuasa.
“Kalau ada syarikat yang boleh memenuhi syarat-syarat yang ketat itu, tentunya bagi pihak kerajaan sukar untuk mengatakan tidak boleh,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan antara kebimbangan utama ketika ini ialah kewujudan ladang penternakan berhampiran kawasan kampung dan perumahan termasuk di Klang.

“Ini sebabnya, sementara waktu noktahlah dulu,” katanya.

Terdahulu, Sultan Selangor dilaporkan menegaskan pendirian baginda untuk tidak membenarkan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor susulan risiko pencemaran terhadap tanah, udara dan sumber air.

Sumber: Astro Awani (Khalis Kadir)

Scroll to Top