LATEST

Banjir kilat di Baling, beberapa laluan terputus

Banjir kilat di Baling, beberapa laluan terputus

am@hmetro.com.my

Baca juga: Struktur tapak pembinaan runtuh hempap kenderaan berhampiran Pavilion Bukit Jalil

Baling: Beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat susulan hujan lebat tanpa henti sejak jam 4 petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, antara kawasan terjejas ialah Kampung Charuk Kelian, Charuk Sikin, Lata Bayu, Batu 8 dan Kampung Parit Panjang.

Beliau berkata, keadaan itu turut menyebabkan beberapa laluan jalan raya terputus hubungan berikutan limpahan air, bagaimanapun paras air dilaporkan mula surut sebelum cuaca kembali hujan.

“Kita turut melakukan operasi menyelamat dua wanita warga emas dan dua kanak-kanak yang terperangkap akibat banjir di Kampung Charuk Kelian.

“Kami menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 7.40 malam sebelum operasi menyelamat dijalankan.

“Mangsa yang diselamatkan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Zulkhairi berkata, kejadian di kawasan Lata Bayu bukan berpunca daripada kepala air, sebaliknya akibat limpahan air susulan taburan hujan yang tinggi.

Katanya, setakat ini satu pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bayu turut dibuka bagi menempatkan penduduk yang terjejas.

“Dalam pada itu, limpahan air turut dilaporkan berlaku di jalan raya sekitar Sungai Tembak serta Jalan Asam Jawa, Parit Panjang berhampiran Charok Salang.

“Setakat ini, operasi penyelamatan masih dilakukan di kawasan yang dilanda banjir kilat.

“Bomba menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada, memantau perubahan cuaca dan mendapatkan maklumat terkini melalui laman web Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia),” katanya.

Zulkhairi berkata, orang ramai juga diminta tidak mengambil risiko meredah arus deras serta mematuhi arahan pihak berkuasa berikutan keadaan cuaca yang masih hujan dan pemantauan terus dilakukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news