LATEST
National

Maddison ledak dua gol ketika Spurs tundukkan Sunderland

Maddison ledak dua gol ketika Spurs tundukkan Sunderland

LONDON: Tottenham Hotspur meneruskan kebangkitan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menewaskan Sunderland 2-0 di tempat lawan sebentar tadi, dalam aksi yang menyaksikan James Maddison meledak gol menerusi sepakan penjuru terus ke gawang.

Baca juga: Wanita Jepun maut terjatuh dari balkoni KLIA Terminal 2

Namun, kemenangan Spurs itu turut dibayangi kontroversi apabila Sunderland tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil melayangkan kad merah awal kepada pemain mereka.

Maddison membuka tirai jaringan sembilan minit sebelum tamat separuh masa pertama apabila pantas menyambar hantaran lintang rendah Andy Robertson hasil gerakan bertindih menarik pertahanan kiri itu.

Pemain tengah England berkenaan kemudian memastikan kemenangan Spurs menerusi satu jaringan luar biasa pada minit ke-72 apabila sepakan penjuru lencongannya melepasi penjaga gol Robin Roefs sebelum menerjah gawang selepas terkena tiang jauh.

Lebih menarik, jaringan itu menjadi sentuhan terakhir Maddison dalam perlawanan berkenaan sebelum digantikan pemain remaja, Luca Williams-Barrett.

Kedua-dua jaringan itu hadir selepas insiden kontroversi pada minit ke-12 apabila Thomas Meunier menjadi pemain Sunderland keempat dilayangkan kad merah dalam kempen EPL musim ini.

Pertahanan Belgium itu melakukan terjahan lewat ke arah buku lali Omar Marmoush. Pengadil Peter Bankes pada awalnya melayangkan kad kuning sebelum menukarnya kepada kad merah selepas meneliti bantuan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Spurs terus memperbaiki kedudukan liga selepas mencatat kemenangan kelima daripada enam perlawanan EPL, manakala kekalahan itu menyaksikan Sunderland terlepas peluang untuk keluar daripada zon penyingkiran apabila kekal di tangga ke-18.

Sunderland bagaimanapun memberikan tentangan selepas bermain dengan 10 pemain, dibantu sorakan penyokong tuan rumah yang berang dengan keputusan pengadil.

Mereka hampir menyamakan kedudukan sebelum rehat, namun penjaga gol Spurs, Antonin Kinsky pantas keluar dari gawang untuk menafikan percubaan Jules Ahoka.

Spurs turut berpeluang menggandakan kelebihan selepas rehat, namun Roefs melakukan aksi menyelamat cemerlang untuk menepis tandukan jarak dekat Sandro Tonali sebelum Maddison mencuri tumpuan menerusi sepakan penjuru menakjubkan.

Sunderland turut menerima satu lagi tamparan apabila penjaring terbanyak bersama mereka, Enzo Le Fee terpaksa dikeluarkan pada babak kedua akibat kemungkinan mengalami kecederaan lutut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news