sukan@hmetro.com.my
Baca juga: Lebih 20 das tembakan cederakan renjer, tiga orang awam termasuk kanak-kanak
Kuala Lumpur: Olahraga Malaysia (MA) menyifatkan semangat juang dan integriti atlet lumba jalan kaki berusia lapan tahun, Wafiyyatulhusna Redza, sebagai sesuatu yang luar biasa, meskipun berdepan situasi mencabar ketika menyertai Kejohanan Program Pembangunan Junior (JDP) 2026, baru-baru ini.
Setiausaha Agung MA, Nurhayati Karim berkata, pihaknya bangga dengan disiplin serta keteguhan atlet muda itu yang terus mematuhi peraturan walaupun berada dalam keadaan tertekan.
Katanya, sikap ditunjukkan Wafiyyatulhusna membuktikan yang kejayaan seseorang atlet bukan hanya diukur berdasarkan kedudukan di podium, sebaliknya turut dinilai menerusi nilai integriti dan disiplin.
“Pertamanya, saya sangat bangga dengan Anas (bapa Wafiyyatulhusna) dan jurulatih yang membimbing Wafiya untuk kekal konsisten dalam pertandingan, dengan minda yang kuat serta integriti tinggi pada usia lapan tahun.
“Perkara itu lebih daripada sekadar podium. Walaupun Wafiya berada dalam keadaan tertekan, dia memilih untuk mematuhi peraturan. Itu mencerminkan Wafiya adalah luar biasa,” katanya menerusi hantaran video di Facebook MA.
Nurhayati berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama Wafiyyatulhusna, jurulatihnya, Rozaina, serta bapanya, Mohd Anas Redza Muzammal, bagi mendapatkan perkembangan terkini dan mendengar sendiri penjelasan keluarga berhubung isu yang tular itu.
Sebagai tanda sokongan dan galakan, MA turut menghadiahkan sepasang kasut larian baharu kepada atlet berkenaan, manakala bapanya merakamkan penghargaan atas keprihatinan badan induk itu meskipun kejohanan terbabit bukan anjuran MA.
Dalam pada itu, MA akan terus meneliti perkara berkenaan termasuk mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan, selain menjalankan semakan dalaman terhadap aspek teknikal pengadilan dan peranan pegawai pertandingan.
Pada masa yang sama, MA akan menjalankan semakan dalaman terhadap aspek teknikal pengadilan dan peranan pegawai pertandingan bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan, selaras dengan persiapan menghadapi Sukan SEA 2027 yang akan berlangsung di Malaysia.
Semakan ini sebahagian daripada usaha memperkukuh standard pengadilan, penyelarasan teknikal dan pengurusan pertandingan olahraga agar setiap atlet mendapat layanan yang adil serta pertandingan berlangsung mengikut peraturan yang ditetapkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd