LATEST
National

Struktur di tapak pembinaan runtuh timpa kenderaan di Bukit Jalil, beberapa kereta rosak

Struktur di tapak pembinaan runtuh timpa kenderaan di Bukit Jalil, beberapa kereta rosak

KUALA LUMPUR: Beberapa kenderaan rosak ditimpa struktur dari sebuah tapak pembinaan yang runtuh berhampiran pusat beli-belah Pavilion Bukit Jalil, di sini, semalam.

Baca juga: Hakim Danish tamat musim sulung di tangga kelapan dunia

Rakaman kamera papan pemuka dikongsi pengguna Threads, @chhmpkeln, menunjukkan beberapa kenderaan sedang melalui jalan di sebelah tapak pembinaan, sebelum struktur berkenaan bersama jaring keselamatan berwarna hijau tiba-tiba runtuh.

“Pengalaman mencemaskan hari ini (semalam). Kepada sesiapa yang ingin melalui kawasan Pavilion Bukit Jalil, harap berhati-hati kerana kejadian berlaku berhampiran tapak pembinaan,” katanya.

Seorang lagi pengguna Threads, @adizzyan, mendakwa ibu dan adiknya berada dalam sebuah kereta e-hailing Proton Saga berwarna merah yang terbabit dalam kejadian itu.

“Sesuatu jatuh dan menghempap kereta Grab berwarna merah dinaiki adik dan ibu saya.

“Kejadian bukan berlaku ketika kereta sedang diparkir, sebaliknya ketika kenderaan itu sedang bergerak untuk keluar dari kawasan berkenaan.

“Kenderaan mereka dihempap di kawasan pembinaan Pavilion Bukit Jalil. Ibu saya masih berada di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM). Tolong, apa yang perlu saya lakukan?” katanya.

Pengguna Threads, @nani.izzyanie, turut berkongsi pengalaman sama.

“Ibu dan dua abang saya kini berada di HCTM kerana mereka berada di dalam Grab ketika kejadian berlaku.

Gambar yang dikongsi di media sosial menunjukkan beberapa kenderaan mengalami kerosakan, termasuk cermin belakang pecah serta bahagian bumbung dan ruang but kemek.

Di ruangan komen, ramai pengguna meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna jalan raya yang melalui kawasan berhampiran tapak pembinaan berkenaan.

Seorang pengguna Threads, @etuchrono, menawarkan bantuan kepada mangsa yang terjejas untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Sesiapa yang terjejas akibat kejadian ini boleh menghubungi saya. Saya biasanya mengendalikan kes berkaitan kecuaian dalam kerja pembinaan.

“Kami akan mengemukakan tuntutan kepada syarikat insurans pihak berkenaan dan sekiranya perkara itu tidak dapat diselesaikan, tindakan saman akan difailkan di mahkamah,” katanya.

BH sudah menghubungi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung kejadian itu dan masih menunggu maklum balas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news