LATEST
National

Newcastle sekat rekod tanpa kalah Brighton

Newcastle sekat rekod tanpa kalah Brighton

BRIGHTON: Harvey Barnes muncul wira Newcastle United apabila jaringan tunggalnya membantu pasukan itu menamatkan rekod tanpa kalah Brighton and Hove Albion di laman sendiri sebentar tadi, sekali gus menghadiahkan kekalahan kedua berturut-turut buat tuan rumah dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Baca juga: Empat tahun Kerajaan MADANI berjaya tingkat kesejahteraan rakyat

Brighton menguasai permainan pada awal perlawanan, namun dikejutkan dengan jaringan pelawat pada minit kelapan selepas Luka Vuskovic menjatuhkan Joe Willock di dalam kotak penalti.

Barnes tenang menyempurnakan sepakan penalti itu untuk menewaskan penjaga gol Bart Verbruggen, sekali gus menyaksikan Brighton bolos di laman sendiri buat kali kedua sahaja dalam saingan liga musim ini.

The Seagulls hampir menyamakan kedudukan sekitar minit ke-30, namun penjaga gol Newcastle, Lukas Hornicek cemerlang menafikan percubaan Pascal Gross sebelum menepis rembatan rendah Diego Gomez.

Brighton yang turun tanpa khidmat pertahanan, Lewis Dunk akibat kecederaan ketika sesi latihan turut menerima tamparan apabila Vuskovic terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan sebelum tamat separuh masa pertama.

Skuad kendalian Fabian Hurzeler tampil lebih agresif pada babak kedua dan terus mengancam kubu pelawat menerusi gerakan serangan yang lebih tersusun.

Mereka hampir menyamakan kedudukan apabila Maxim de Cuyper menyambut hantaran rendah dan cuba menolak bola ke gawang di tiang dekat, namun percubaannya sekadar menggegarkan palang.

Hornicek sekali lagi menjadi penghalang apabila melakukan aksi menyelamat cemerlang untuk menepis rembatan Yankuba Minteh dari luar kotak penalti ke luar padang.

Brighton terus mengasak bagi mencari gol penyamaan, namun benteng Newcastle yang berdisiplin berjaya bertahan sehingga wisel penamat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news