LATEST

Struktur tapak pembinaan runtuh hempap kenderaan berhampiran Pavilion Bukit Jalil

Struktur tapak pembinaan runtuh hempap kenderaan berhampiran Pavilion Bukit Jalil

news@nst.com.my

Baca juga: Newcastle lebur rekod kebal Brighton di tempat sendiri

Kuala Lumpur: Beberapa kenderaan dipercayai mengalami kerosakan selepas dihempap struktur dari sebuah tapak pembinaan berhampiran pusat beli-belah Pavilion Bukit Jalil, di sini, semalam.

Rakaman kamera papan pemuka yang dikongsi pengguna Threads, @chhmpkeln, menunjukkan beberapa kenderaan sedang melalui jalan di sebelah tapak pembinaan sebelum struktur berkenaan bersama jaring keselamatan berwarna hijau tiba-tiba runtuh.

“Pengalaman yang mencemaskan hari ini (semalam). Kepada sesiapa yang ingin melalui kawasan Pavilion Bukit Jalil, harap berhati-hati kerana kejadian berlaku berhampiran tapak pembinaan,” katanya.

Seorang lagi pengguna Threads, @adizzyan, mendakwa ibu dan adiknya berada di dalam sebuah kereta e-hailing Proton Saga berwarna merah yang terbabit dalam kejadian itu.

“Sesuatu jatuh dan menghempap kereta Grab berwarna merah yang dinaiki adik dan ibu saya.

“Kejadian bukan berlaku ketika kereta sedang diparkir, sebaliknya ketika kenderaan itu sedang bergerak untuk keluar dari kawasan berkenaan.

“Kenderaan mereka dihempap di kawasan pembinaan Pavilion Bukit Jalil. Ibu saya masih berada di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM). Tolong, apa yang perlu saya lakukan?” katanya.

Pengguna Threads, @nani.izzyanie, turut berkongsi pengalaman sama.

“Ibu dan dua abang saya kini berada di HCTM kerana mereka berada di dalam Grab ketika kejadian berlaku,” katanya.

Gambar yang dikongsi di media sosial menunjukkan beberapa kenderaan mengalami kerosakan, termasuk cermin belakang pecah serta bahagian bumbung dan but kemek.

Di ruangan komen, ramai pengguna meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna jalan raya yang melalui kawasan berhampiran tapak pembinaan berkenaan.

Seorang pengguna Threads, @etuchrono, menawarkan bantuan kepada mangsa yang terjejas untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Sesiapa yang terjejas akibat kejadian ini boleh menghubungi saya. Saya biasanya mengendalikan kes berkaitan kecuaian dalam kerja pembinaan.

“Kami akan mengemukakan tuntutan kepada syarikat insurans pihak berkenaan dan sekiranya perkara itu tidak dapat diselesaikan, tindakan saman akan difailkan di mahkamah,” katanya.

Sementara itu, New Straits Times sudah menghubungi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung kejadian itu, dan masih menunggu maklum balas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news