LATEST

Tabung Bantuan Kemanusiaan bantu rakyat Palestin berjaya kumpul RM3.8 juta

Tabung Bantuan Kemanusiaan bantu rakyat Palestin berjaya kumpul RM3.8 juta

mukhriz.husin@bh.com.my

Baca juga: Gol menarik Maddison bantu Spurs benam Sunderland

Putrajaya: Sebanyak RM3.8 juta berjaya dikumpulkan menerusi inisiatif sumbangan Tabung Bantuan Kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin, khususnya di Gaza.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, dana berkenaan akan diagihkan berdasarkan program dan projek kemanusiaan yang dikenal pasti mengikut keperluan rakyat Palestin.

“Alhamdulillah, sebenarnya RM3.8 juta itu memang sudah ada (dalam tabung) dan kita akan mengagihkannya berdasarkan program serta projek yang telah dikenal pasti.

“Insya-Allah, kita juga berhasrat menambah dan meningkatkan jumlah tabung ini supaya dapat menyalurkan lebih banyak sumbangan kepada rakyat Palestin, khususnya di Gaza,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena Himpunan Malaysia Bersama Palestin 2026 di Dataran Putrajaya, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Global Peace Mission (GPM) Malaysia dan Ahli Dewan Negara, Dr Jufitri Joha serta Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Zulkifli berkata, matlamat pengumpulan dana itu bagi memastikan setiap sumbangan dan perbelanjaan akan didokumentasikan dengan cermat dan baik.

“Alhamdulillah, kita dapat melihat bagaimana profesionalisme dalam pengurusan ini dikekalkan dan dipertahankan.

“Dalam masa sama, kita mahu membuktikan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Ops Ihsan adalah sebuah pertubuhan yang amanah dalam melaksanakan setiap tanggungjawab yang diberikan oleh penderma dan penginfak,” katanya.

Sementara itu, Zulkifli turut menggesa supaya masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera bagi menghentikan genosid, hukuman kolektif, apartheid dan segala bentuk jenayah terhadap kemanusiaan yang terus menimpa rakyat Palestin.

Menurutnya, masyarakat dunia perlu bersama-sama memperjuangkan keadilan, keamanan dan hak rakyat Palestin untuk menikmati kebebasan serta kehidupan bermaruah.

“Kita berdiri bersama rakyat Palestin. Kita berdiri demi keadilan, maruah kemanusiaan, kemanusiaan dan kebebasan.

“Insya-Allah, perjuangan dan usaha kita untuk terus membela rakyat Palestin tidak akan terhenti.

“Kita menyeru masyarakat antarabangsa supaya menghentikan genosid, hukuman kolektif, apartheid, penjajahan haram serta jenayah terhadap kemanusiaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news