LATEST
National

Neuer beri bayangan bersara

Neuer beri bayangan bersara

MUNICH: Penjaga gol Bayern Munich, Manuel Neuer memberi bayangan bakal menamatkan karier profesionalnya pada penghujung musim ini selepas mengakui tidak menjangka akan terus beraksi selepas musim panas depan.

Baca juga: Struktur di tapak pembinaan runtuh timpa kenderaan di Bukit Jalil, beberapa kereta rosak

Penjaga gol berusia 40 tahun itu dilaporkan membuat kenyataan berkenaan ketika menghadiri forum peminat, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai masa depannya bersama kelab gergasi Bundesliga itu.

“Saya beranggapan perjalanan ini tidak akan diteruskan buat saya pada musim panas nanti. Saya cuba menikmati baki masa yang ada sekarang,” katanya seperti dipetik Sky Sports Germany.

Neuer yang kontraknya bersama Bayern berakhir pada Jun 2027, menyertai kelab itu pada 2011 dan membantu pasukan meraih 13 kejuaraan Bundesliga serta dua trofi Liga Juara-Juara.

Bagaimanapun, musim ini menyaksikan beliau berdepan masalah kecederaan, termasuk koyak separa tendon yang dialaminya bulan ini, selain prestasinya turut menjadi perhatian.

Di peringkat antarabangsa, Neuer mengumumkan persaraan daripada skuad kebangsaan Jerman pada Ogos 2024 selepas membantu negara itu menjulang Piala Dunia 2014 di Brazil, selain meraih Anugerah Sarung Tangan Emas sebagai penjaga gol terbaik kejohanan.

Dia kemudian menarik balik keputusan itu untuk beraksi pada Piala Dunia tahun ini, yang menjadi penampilan kelima berturut-turutnya di pentas berkenaan, namun mengesahkan akan kembali bersara daripada bola sepak antarabangsa selepas kejohanan itu.

Neuer menamatkan karier antarabangsa dengan 128 penampilan bersama Jerman.

Sementara itu, media Jerman sebelum ini melaporkan Bayern sedang membuat persiapan untuk menjadikan Jonas Urbig sebagai penjaga gol utama musim depan, selain mencari seorang penjaga gol berpengalaman sebagai pilihan kedua.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news