am@hmetro.com.my
Baca juga: Banjir kilat di Baling, beberapa laluan terputus
Kulim: Hujan lebat berterusan selama empat jam menyebabkan beberapa kawasan rendah di daerah ini dinaiki air, selain paras sungai meningkat secara mendadak, petang tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kulim, Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad berkata, hujan lebat bermula jam 4 petang itu menyebabkan Sungai Kulim melimpah dan beberapa kawasan dinaiki air.
Beliau berkata, susulan kejadian itu, satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka jam 8 malam ini di Surau Taman Sang Kancil, Mukim Lunas bagi menempatkan penduduk yang terjejas.
Katanya, setakat ini jumlah mangsa yang dipindahkan ke PPS itu dalam bancian kerana operasi masih berjalan.
“Pembukaan PPS itu dilakukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas mendapat kelulusan Pegawai Daerah Kulim.
“Operasi pemantauan, pemindahan penduduk dan penyelarasan bantuan kini giat dijalankan secara bersepadu membabitkan beberapa agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), JKM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta penghulu mukim.
“Orang ramai khususnya penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Amirul Aliff berkata, penduduk juga diminta segera berpindah sekiranya diarahkan berbuat demikian bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
© New Straits Times Press (M) Bhd