am@hmetro.com.my
Baca juga: Tuah kunjungan dua hari: Pesara kerajaan menang rumah teres dua tingkat di MSAM 2026
Kuala Nerus: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bersedia menerajui penubuhan Darul Hadis pertama negara susulan saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mahu institusi itu direalisasikan dalam tempoh terdekat.
Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Fadzli Adam berkata, pihaknya menyambut baik hasrat berkenaan dan bersedia menggembleng kepakaran akademik serta jaringan strategik universiti bagi menjayakannya.
“Penubuhan Darul Hadis berpotensi memperkukuh kedudukan UniSZA sebagai pusat rujukan pengajian hadis dan khazanah ilmu Islam di peringkat kebangsaan serta antarabangsa,” katanya.
UniSZA mempunyai asas kukuh menerusi usaha pendigitalan hampir 6,000 manuskrip Melayu serta pembangunan laluan pendidikan tahfiz ke peringkat universiti.
Terdahulu, Ahmad Zahid ketika berucap pada Majlis Sama’ Hadis Kitab Riyadh al-Salihin dan Ijtimak Pondok Pesantren Nusantara-UniSZA di sini, menyatakan potensi universiti itu untuk menerajui penubuhan Darul Hadis berdasarkan kekuatan dalam bidang pengajian Islam.
Beliau dilaporkan berkata, kerjasama dengan institusi pondok dan pesantren turut akan diperkukuh menerusi pengajian kitab turath, pertukaran tenaga pengajar, penyelidikan bersama serta penerbitan ilmiah.
Ahmad Zahid berkata, beliau akan berusaha mencari peruntukan bagi merealisasikan penubuhan institusi berkenaan, selain mencadangkan Majlis Sama’ Hadis dan Ijtimak Pondok Nusantara dijadikan acara tahunan di UniSZA.
Program berkenaan menghimpunkan lebih 50 institusi pondok dari Terengganu dan Pahang serta lebih 20 tokoh pesantren dari Indonesia, selain penyertaan ulama dan ahli akademik dari Malaysia, Indonesia dan Thailand.
© New Straits Times Press (M) Bhd