PENGORBANAN dalam Islam bukan sekadar tindakan memberi sesuatu yang kita miliki, tetapi suatu bukti keimanan bahawa kehidupan manusia seluruhnya tertakluk kepada kehendak Allah SWT.
Islam mendidik umatnya supaya tidak hidup hanya untuk kepentingan diri sebaliknya bersedia mengorbankan harta, masa, tenaga, fikiran, jiwa dan raga demi agama, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.
Pengorbanan dalam pengertian yang luas ialah kesanggupan meninggalkan kesenangan peribadi demi melaksanakan tanggungjawab yang lebih besar. Ini nilai yang membina kekuatan umat sejak zaman para nabi, sahabat, ulama dan generasi soleh terdahulu.
Asas pengorbanan Islam bertitik tolak daripada tauhid. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadat korbanku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam.” (Surah al-An’am ayat 162)
Ayat ini meletakkan seluruh kehidupan Muslim di bawah kerangka ubudiyyah. Solat, ibadat, kerja, perjuangan, kehidupan dan kematian semuanya perlu diarahkan kepada keredaan Allah SWT bukan kepada kemegahan diri, pujian manusia atau kepentingan dunia semata-mata.
Kisah Nabi Ibrahim AS dan puteranya, Nabi Ismail AS adalah gambaran tertinggi tentang makna pengorbanan. Allah SWT merakamkan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Maka ketika anaknya itu sampai ke peringkat mampu berusaha bersama-samanya, Ibrahim berkata: ‘Wahai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu.’ Anaknya menjawab: ‘Wahai ayahku, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya-Allah engkau akan mendapatiku termasuk dalam kalangan orang yang sabar.” (Surah al-Saffat ayat 102). Allah kemudian menegaskan bahawa peristiwa itu adalah ujian yang nyata dan menebus Nabi Ismail AS dengan sembelihan yang besar.
Kedua-duanya memperlihatkan adab iman yang tinggi iaitu perintah Allah didahulukan walaupun berhadapan ujian yang amat berat. Justeru, ibadat korban pada Aidiladha bukan sekadar penyembelihan haiwan, tetapi pendidikan rohani supaya manusia menyembelih sifat bakhil, ego, sombong, cintakan dunia secara melampau dan takut berjuang demi kebenaran.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Daging dan darah binatang korban itu sekali-kali tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketakwaan daripada kamu.” (Surah al-Hajj ayat 37). Ayat ini menjelaskan bahawa nilai korban bukan terletak pada saiz haiwan, jumlah wang atau kemeriahan majlis, tetapi pada keikhlasan dan takwa.
Harta tidak boleh menjadi berhala moden yang menguasai hati manusia. Sebaliknya, harta ialah amanah yang perlu diurus dengan jujur, halal dan bermanfaat. Muslim yang benar-benar memahami pengorbanan tidak akan keberatan menghulurkan bantuan ketika orang lain memerlukan kerana dia sedar rezeki yang diberi Allah ada hak orang lain.
Pengorbanan masa pula amat penting pada zaman yang sarat dengan hiburan, media sosial dan kesibukan duniawi. Masa ialah nikmat yang tidak dapat ditebus apabila hilang. Berkorban masa bermaksud memberi ruang untuk ibadah, ilmu, keluarga, masyarakat dan tugas yang bermanfaat. Seorang pelajar berkorban masa untuk menuntut ilmu; seorang guru berkorban masa untuk mendidik; seorang ibu dan bapa berkorban masa untuk membina keluarga manakala seorang pemimpin berkorban masa untuk menyelesaikan urusan rakyat.
Tanpa pengorbanan masa, masyarakat akan menjadi lemah kerana semua orang hanya mahu kesenangan segera tanpa ketekunan dan disiplin.
Pengorbanan tenaga dan jiwa pula terserlah melalui kerja yang ikhlas, amanah dan bermutu. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada Mukmin yang lemah, dan pada kedua-duanya ada kebaikan.” (Hadis Riwayat Muslim)
Kekuatan dalam hadis ini merangkumi kekuatan iman, ilmu, akhlak, tubuh badan, ekonomi, daya fikir dan kemampuan memberi manfaat. Maka umat Islam dituntut menjadi umat yang kuat, bukan umat yang pasif, mudah berputus asa atau hanya menjadi pemerhati kepada kerosakan masyarakat.
Pengorbanan nyawa pula berada pada kedudukan yang tinggi, khususnya apabila ia dilakukan demi mempertahankan agama, maruah, keselamatan dan tanah air menurut batas syarak. Islam tidak mengajar keganasan, permusuhan melampau atau tindakan melampaui hukum.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menegaskan bahawa pengorbanan yang besar sekali pun tidak bernilai di sisi Allah jika dilakukan kerana riyak, kepentingan politik sempit, kemasyhuran atau keuntungan dunia semata-mata. Sebaliknya, amalan yang kelihatan kecil boleh menjadi besar nilainya apabila lahir daripada hati yang ikhlas.
Tegasnya, pengorbanan dalam Islam ialah jalan pembinaan insan bertakwa dan masyarakat berdaya tahan. Ibadat korban mendidik umat agar tidak terperangkap pada kulit amalan, tetapi memahami rohnya: takwa, ikhlas, kasih sayang, kepedulian sosial dan ketaatan. Umat Islam hari ini perlu menghidupkan semangat pengorbanan dalam bentuk yang luas: berkorban harta untuk kebajikan, masa untuk ilmu dan keluarga, tenaga untuk masyarakat, jiwa untuk kebenaran dan kehidupan untuk keredaan Allah.
Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan
© New Straits Times Press (M) Bhd




