Bertalak bukan dengan anak

Bertalak bukan dengan anak

asmaini@mediaprima.com.my

TALAK adalah perkara halal yang dibenci di sisi Allah SWT.

Jika segala usaha sudah dilakukan untuk mempertahankan institusi kekeluargaan itu tetapi hanya perceraian sahaja jalan keluarnya, maka Islam membenarkannya.

Namun, perceraian sepatutnya hanya memisahkan dua jiwa dan tidak menjejaskan ahli keluarga lain terutama anak-anak yang masih memerlukan kasih sayang ibu bapa.

Di sebalik perpisahan yang melanda, anak-anak tidak seharusnya menjadi mangsa, dihalang daripada bertemu dengan ibu atau bapa kandung mereka.

Tetapi senario sejak kebelakangan ini menyaksikan banyak kes yang sengaja menghalang dan mengehadkan waktu lawatan kepada bekas pasangan untuk bertemu dengan anak-anak semata-mata disebabkan dendam perceraian.

Ia situasi yang menyedihkan kerana anak-anak tidak bersalah tetapi menjadi mangsa dan terpaksa menanggung akibat perceraian orang tua mereka.

Menurut Kaunselor Perkahwinan, Mohd Redzuan Zamberi, apabila berlakunya perceraian, kebiasaan hak jagaan anak di bawah umur 12 tahun adalah milik ibunya melainkan ada faktor-faktor lain yang menghilangkan kelayakan berkenaan.

Namun, kata Mohd Redzuan, dalam pembahagian hak lawatan atau bermalam contohnya, jangan terlalu menzalimi bekas pasangan.

Ini kerana katanya, seorang ayah tetap menjadi seorang ayah yang sah kepada anaknya, darah dagingnya sendiri walau apa pun yang berlaku kepada perhubungan suami isteri.

Jadi, kerinduan akan tetap ada lebih-lebih lagi apabila apabila si anak sudah tidak lagi tinggal bersama.

“Mungkin dia bukan suami yang terbaik untuk anda tetapi dia adalah seorang ayah yang baik kepada anak-anak.

“Dalam masalah ini, seeloknya berbincanglah dengan baik supaya tiada pihak yang dizalimi dan anak-anak juga berpeluang mendapat kasih sayang sepenuhnya.

“Dalam Surah An Nisa ayat 130, Allah juga berfirman akan menjaga pasangan, anak-anak serta menjaga kecukupan rezeki mereka jika berlakunya perceraian, jadi jagalah hubungan baik bukan sahaja dengan Allah tetapi juga sesama manusia,” katanya kepada Harian Metro.

Mohd Redzuan berkata, hubungan baik sesama manusia tidak boleh dipandang remeh kerana kebanyakan waktu kita lebih banyak dihabiskan dengan manusia di sekeliling.

Kata beliau, dosa dengan Allah, boleh minta diampunkan tetapi dosa sesama manusia seseorang itu perlu meminta maaf sendiri dengan individu terbabit.

Katanya, andai sudah tiada jodoh sekali pun, jangan sesekali memburukkan bekas pasangan, ipar duai atau mentua dan sebaiknya kekalkanlah hubungan baik kerana mereka juga pernah berjasa selama ini.

“Pasangan yang bercerai juga perlu mengelakkan daripada saling memburukkan antara satu sama lain di hadapan anak-anak kerana jiwa mereka masih rapuh untuk menerima semua itu.

“Kelakuan buruk itu boleh merosakkan perkembangan emosi dan mental anak-anak jika mereka sering terdedah kepada pergaduhan, keganasan atau kecurangan ibu bapa.

“Dalam hal ini, jadilah ibu bapa yang terbaik dengan bersama -sama menjaga kebajikan anak-anak sebaiknya kerana mereka memerlukan kasih sayang sepenuhnya daripada kedua ibu bapa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top