KOTA BHARU: Berus gigi, sikat, sarung bantal dan pakaian menjadi antara barangan peribadi yang dicari keluarga Dr. Ainul Baroah Kamarudin, 33, bagi membantu pihak berkuasa mendapatkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) susulan tragedi helikopter terhempas di Marudi, Sarawak semalam.
Bapa saudara mangsa, Mohd. Sapri Salleh, 65, berkata, dia membantu abangnya, Kamarudin, 69, mencari barangan berkenaan di dalam bilik Dr. Ainul Baroah di rumah keluarga mereka di Kampung Baung selepas menerima panggilan daripada pihak berkuasa kira-kira pukul 10 malam tadi.
Katanya, pihak berkuasa meminta keluarga membawa barangan peribadi anak saudaranya itu ke Sarawak untuk dijadikan sampel DNA bagi membantu proses pengesanan jenazah mangsa.
“Sekejap sahaja kami berdua mencari kesemua barangan itu kerana ia memang ada di dalam bilik. Kira-kira pukul 10.30 malam tadi, abang dan keluarga terus bergerak ke rumah besannya di Bangi, Selangor sebelum ke Sarawak pagi ini.
“Ainul Baroah dan suaminya, Muhammad Faiz Abdul Malik, 37, pulang ke kampung selama seminggu ketika cuti sekolah minggu lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Kamarudin ketika dihubungi pada pukul 10 pagi tadi berkata, dia ketika ini berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang untuk menaiki pesawat ke Sarawak.
“Saya sudah nak naik kapal terbang. Nanti telefon balik,” katanya ringkas.
Utusan Malaysia, sebelum itu melaporkan, seorang juruterbang dan empat penumpang helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) disahkan maut selepas pesawat itu terhempas di Long Lellang STOLport petang tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, Galong Luang berkata, kesemua lima individu yang berada di dalam helikopter berkenaan disahkan meninggal dunia dalam nahas kira-kira pukul 3.40 petang itu.
“Malangnya, kesemua lima orang di dalam pesawat telah meninggal dunia seperti yang disahkan menerusi laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan,” katanya. – UTUSAN
