az308
Jerebu, majoriti kawasan Sarawak masih tidak sihat
Bernama
Kuala Lumpur: Tiada kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap berbahaya susulan jerebu setakat 9 pagi ini.
Bagaimanapun, berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) pagi ini, hanya Serian di Sarawak mencatatkan status IPU sangat tidak sihat dengan bacaan 214.
Sementara itu, sebanyak 10 kawasan di Sarawak merekodkan bacaan tidak sihat iaitu Samarahan dan Kuching, masing-masing 185, Sarikei (174), Sri Aman (173), Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (171), Samalaju (169), Mukah (156), Bintulu (155), Miri (150) dan Sibu (102).
Di Selangor, Johan Setia merekodkan bacaan tertinggi di negeri itu dengan IPU 164, diikuti Shah Alam (161), Banting (156), Petaling Jaya dan Klang (153) serta Kuala Selangor (151).
Turut mencatatkan status tidak sihat ialah Tasek Ipoh dan Tanjung Malim masing-masing (158), Seri Manjung (152) serta Pegoh Ipoh (144) di Perak; manakala di ibu negara melibatkan Batu Muda (170), Cheras (161) selain Putrajaya (157).
Kawasan lain yang berada pada tahap sama ialah Nilai (159), Seremban (154) dan Port Dickson (108) di Negeri Sembilan; Bukit Rambai (155), Alor Gajah (152) serta Bandaraya Melaka (103) di Melaka; manakala Segamat (155), Batu Pahat (153), Kluang (151) dan Tangkak (142) di Johor.
Secara keseluruhan, 29 kawasan di seluruh negara dilaporkan berada pada tahap sederhana, sementara empat kawasan mencatatkan bacaan baik.
Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai berbahaya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
