Besarkan anak sendirian dibalas kejayaan ke menara gading

ARAU: Tidak ada apa lebih menggembirakan seorang bapa apabila melihat anak-anak yang dibesarkan secara bersendirian berjaya menjejak kaki ke menara gading.

Muhammad Hanuar Hussin, 52, dari Kuala Perlis yang bekerja sendiri membesarkan lima orang anaknya selepas berpisah dengan isteri.

Tiga anak kembarnya iaitu Muhammad Huzhairy Farrel, 18, Muhammad Huzhaimy Farrul, 18 dan Muhammad Huzhaify Farzal, 18, memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini dan masing-masing berjaya memasuki Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaysia Perlis (Unimap).

Muhammad Hanuar berkata, dua lagi anaknya masing-masing sudah bekerja dengan salah seorangnya sebagai jurutera.

“Selepas berpisah dengan isteri ketika anak-anak masih kecil, saya mengambil tanggungjawab membesarkan kese­mua mereka. Saya melakukan pelbagai kerja kampung sebagai sumber pendapatan.

“Meskipun begitu, saya tetap mengutamakan pendidikan untuk anak-anak dan Alhamdulilah kesemua mereka cemerlang dalam akademik. Selepas ini, saya terpaksa berjauhan dengan tiga anak kembar yang akan me­lanjutkan pelajaran di universiti.

“Ibu dan ayah saya atau nenek dan datuk mereka juga selama ini banyak membantu dalam membesarkan anak-anak,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia selepas majlis sumbangan dana pendidikan Yayasan Fawwaz 2026 yang disampaikan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim di sini.

Pada majlis itu, seramai 133 orang penerima dari seluruh negeri ini menerima sumbangan iaitu membabitkan 39 pelajar peringkat ijazah; 86 (diploma) dan lapan pelajar (sijil).

Muhammad Hanuar berkata, pengorbanan serta kerja kerasnya dalam membesarkan anak berbaloi apabila melihat kesemua mereka sudah berjaya.

“Sejak kecil lagi, anak-anak terutama yang kembar ini tidak banyak meminta-meminta sebaliknya semua dikongsi bersama. Selepas ini, mereka akan memulakan kehidupan di menara gading dan perlu menjaga diri serta tidak melupakan keluarga di kampung,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top