PETALING JAYA: Penyanyi, Nourul Wahab, mencadangkan artis dan penggiat seni untuk menguruskan sendiri pembayaran cukai pendapatan individu berbanding pendapatan itu dipotong secara bersistematik bagi setiap projek yang diterima.
Nourul atau Noorulhuda Abdul Wahab, 49, berkata, sistem sedia ada sememangnya sudah memudahkan urusan percukaian dan artis perlulah lebih celik dan faham proses mengisytiharkan pendapatan mereka sendiri.
“Pada saya, lebih baik kita bayar sendiri sebab lebih jelas. Sekarang, teknologi sudah canggih dan ada platform untuk kita uruskan bayaran cukai sendiri.
“Cuma, kita kena tahu dan celik ilmu bagaimana hendak mengisytiharkan serta menyerahkan bayaran itu dengan betul,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Nourul bagaimanapun tidak menolak sepenuhnya sekiranya kerajaan mahu melaksanakan mekanisme potongan cukai secara automatik pada masa hadapan, asalkan langkah itu disertakan dengan manfaat yang lebih menyeluruh kepada penggiat seni.
“Tidak salah kalau kerajaan mahu buat potongan cukai secara khusus bagi setiap persembahan atau projek kami nanti. Tetapi, biarlah ada situasi menang-menang untuk kami.
“Kalau cukai dipotong secara sistematik, tolong sediakan lebih banyak geran dan kemudahan untuk pelakon, penyanyi, komposer, pengarah serta penganjur acara supaya kami boleh terus berkarya,” ujarnya.
Katanya, bantuan kerajaan berkaitan geran sememangnya sudah diwujudkan dan usaha itu perlu dihargai, namun proses permohonan serta penyampaiannya masih perlu dipermudah.
“Geran-geran itu memang bagus dan saya berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakannya. Cuma, kadang-kadang terlalu sukar untuk mendapatkannya walaupun kertas kerja sudah dihantar.
“Saya mohon, kita serah semua dokumen, tetapi akhirnya tiada maklum balas sama ada berjaya atau tidak. Itu yang perlu diperbaiki supaya lebih terbuka dan adil kepada semua penggiat seni,” katanya.
Dalam pada itu, Nourul menegaskan dia tidak mempunyai masalah untuk membayar cukai kerana hasil kutipan itu akhirnya digunakan semula untuk kepentingan rakyat termasuk sektor kesihatan dan kebajikan.
“Tidak salah bayar cukai kerana akhirnya ia kembali kepada rakyat. Kalau kita atau ahli keluarga mendapatkan rawatan di hospital kerajaan, di situlah hasil cukai digunakan untuk membantu masyarakat.
“Kalau mahu dibandingkan dengan Perancis, kadar cukai di sana sangat tinggi melebihi 70 peratus manakala di Malaysia kadar tertinggi hanya sekitar 30 peratus sahaja,” katanya.


