am@hmetro.com.my
Shah Alam: Jabatan Peguam Negara (AGC) masih meneliti representasi dikemukakan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan terhadap beliau.
Susulan itu Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Masri Mohd Daud memaklumkan mahkamah di hadapan Hakim Datuk Aslam Zainuddin, pihaknya mencadangkan mahkamah menetapkan tarikh sebutan baharu untuk kes itu.
“Dukacitanya, AGC masih meneliti representasi yang dikemukakan, pendek kata kami tidak dapat memberi keputusannya pada hari ini,” katanya.
Peguam Hasshahari Johari Mawi yang mewakili Muhammad Sanusi mengesahkan perkara itu dan bersetuju dengan cadangan TPR.
Mahkamah menetapkan 10 Disember untuk sebutan semula kes bagi prosiding keputusan representasi itu.
Aslam berkata, beliau berharap tidak ada lanjutan selepas ini.
“Saya harap ini adalah tarikh yang terakhir untuk keputusan representasi kes ini,” katanya.
Berdasarkan dua pertuduhan, Muhammad Sanusi, 50, didakwa menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak, kira-kira jam 11 malam ,11 Julai 2023.
Beliau didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
September lalu, Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri, Kedah buat kali pertama membuat permohonan ampun secara terbuka kepada Sultan Selangor berkaitan kenyataan beliau yang didakwa menghina baginda.
Sultan Sharafuddin berkenan menerima permohonan maaf itu atas nama ukhuwah sesama Islam dan bangsa Melayu, selain menasihatkan Muhammad Sanusi sentiasa menjaga tutur kata serta tatasusila.
Pada prosiding sebelum ini, peguam pemerhati Sultan Selangor, Datuk Seri Salehuddin Saidin mengesahkan kenyataan Sultan Selangor yang memaafkan Muhammad Sanusi.
© New Straits Times Press (M) Bhd