bhnews@bh.com.my
TELUK INTAN: Kementerian Pendidikan memberi pendekatan khusus untuk terus memperkasakan bidang pertanian di Kolej Vokasional (KV) yang dilihat kurang mendapat penyertaan pelajar.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, terdapat enam KV yang menawarkan program pertanian di seluruh negara iaitu KV Pasir Puteh, Kelantan; KV Dato’ Lela Maharaja, Negeri Sembilan; KV (Pertanian) Teluk Intan; KV (Pertanian) Chenor, Pahang; KV Lahad Datu, Sabah dan KV Pagoh, Johor yang baharu dibuka untuk pengambilan tahun ini.
Katanya, secara keseluruhan seramai 2,025 pelajar mengikuti program berkenaan di lima KV dan biarpun ia jumlah yang memberangsangkan, jumlah itu lebih rendah daripada kapasiti sebenar.
“Sebab itu di peringkat kementerian memberi pendekatan khusus di mana pertanian adalah satu industri dan ruang cukup besar untuk diterokai dengan penggunaan teknologi.
“Pelajar boleh mendapat kepakaran diperlukan industri dan mereka juga boleh menjadi usahawan.
“Kita melihat apa penambahbaikan yang boleh dilaksanakan dalam konteks kemudahan dan kokurikulum pembelajaran di kolej dan melihat satu persatu apa bidang kekuatan mereka seperti di Chenor, Pahang lebih kepada akuakultur dan Pasir Putih, Kelantan lebih kepada ruminan (Agroindustri Ternakan Ruminan).
“Bagaimana boleh ditambah baik penawaran yang diberikan khususnya dalam konteks pengetahuan mengambil kira teknologi terkini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke KV (Pertanian) Teluk Intan di Jalan Changkat Jong, di sini, hari ini.
Radzi berkata pihaknya juga dalam usaha untuk memastikan bidang pertanian terus mendapat permintaan sekali gus meyakinkan ibu bapa terhadap kebolehpasaran bidang itu.
“Kita sedar masih ada ibu bapa yang merasakan ruang dan peluang yang diberikan di KV adalah sesuatu yang tidak menjanjikan masa depan yang lebih baik untuk anak tetapi hakikatnya pelajar ini diperlukan dalam industri dan pekerjaan.
“Kita lihat data contohnya KV (Pertanian) Teluk Intan jumlah pelajar yang diambil berkerja atau berkerja sendiri selepas tamat pengajian adalah 100 peratus.
“Jika dahulu kita bercakap pertanian (ia) secara tradisional tetapi sekarang kita mengambil kira teknologi terkini yang digunakan dalam sektor pertanian dan pelajar akan dibiasakan (didedahkan) dengan teknologi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




