WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, mengumumkan tindakan pertama dalam sekatan terhadap Russia, termasuk langkah menyekat kewangan negara berkenaan.
Katanya, tindakan itu diambil selepas Moscow didakwa memulakan pencerobohannya ke atas Ukraine.
“Kami melaksanakan sekatan ke atas hutang Russia. Ini bermaksud kami menyekat kerajaan daripada pembiayaan Barat.
“Mereka tidak lagi boleh memperoleh wang dari Barat dan tidak boleh membuat hutang baharu sama ada di pasaran kita atau Eropah,” katanya.
Beliau juga memberi amaran tindakan lebih tegas bakal diambil jika Russia meneruskan langkah agresifnya.
Tambah Biden, tindakan itu disasarkan kepada bank pembangunan Russia, VEB serta anggota elit negara berkenaan.
“Mereka berkongsi hasil rasuah daripada dasar dilaksanakan Kremlin dan harus turut sama menderita,” katanya.
Pengumuman itu dibuat selepas Kesatuan Eropah (EU) melaksanakan sekatan selaras dengan usaha Barat bagi menekan Presiden Russia, Vladimir Putin.
Pegawai kanan pentadbiran AS berkata, biarpun tindakan menyekat pembiayaan baharu untuk Moscow dilihat langkah luar biasa dan tegas, tindak balas Washington tidak terlalu keras berbanding EU.
Bagaimanapun, katanya, semua opsyen masih terbuka termasuk menyasarkan Putin secara khusus bagi memastikan kesannya cukup ketara .
“Sekatan penuh terhadap VEB dan PSB, yang juga pembiaya utama tentera selain anak syarikat berkaitan bermakna semua aset luar negara Russia akan dibekukan serta disekat daripada menggunakan sistem perbankan AS.
“Washington difahamkan turut menyasarkan lima individu dan keluarga mereka di Russia untuk dikenakan sekatan sama,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Perbendaharaan, Janet Yellen, dalam satu kenyataan berkata pihaknya akan terus memantau tindakan Russia.
“Jika ia menyerang Ukraine, AS dengan pantas mengenakan sekatan ekonomi meluas yang akan memberi kesan teruk dan berkekalan kepada ekonomi Russia,” katanya. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




