Big Caring Group sasar penyenaraian dengan permodalan pasaran RM8 bilion

Big Caring Group sasar penyenaraian dengan permodalan pasaran RM8 bilion

Kuala Lumpur: Rangkaian farmasi runcit terbesar di Malaysia dari segi hasil dan bilangan farmasi berlesen, Big Caring Group Bhd (BCG) menyasarkan penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd pada 19 November ini dengan anggaran permodalan pasaran sebanyak RM8 bilion.

Dengan harga tawaran awam permulaan (IPO) RM1.08 sesaham, terbitan awam itu dijangka mengumpul hasil kasar kira-kira RM637.8 juta.

IPO kumpulan itu merangkumi sehingga 1.9 bilion saham biasa, terdiri daripada terbitan awam sebanyak 590.5 juta saham baharu dan tawaran jualan sebanyak 1.3 bilion saham sedia ada.

Dengan sasaran permodalan pasaran itu, Big Caring berada di belakang Sunway Healthcare Holdings Bhd yang membuat kemunculan sulung di Bursa Malaysia pada Mac lalu dengan penilaian IPO sebanyak RM16.68 bilion.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BCG, Lee Meng Chuan berkata, pelancaran prospektus itu menandakan pencapaian penting dalam perjalanan pertumbuhan kumpulan berkenaan.

“Kami berkembang daripada sebuah cawangan pada 2006 kepada lebih 600 cawangan di seluruh negara menerusi pengembangan organik dan pengambilalihan strategik.

“Ketika melangkah ke fasa seterusnya, kami akan terus memperkukuh keupayaan pengedaran, meningkatkan kecekapan operasi dan mengoptimumkan kunci kira-kira bagi menyediakan asas kukuh untuk pertumbuhan seterusnya,” katanya ketika menyampaikan ucapan ketika majlis pelancaran prospektus di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif BCG, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Meng Chuan berkata, BCG juga akan terus memperluas rangkaian farmasi serta memperkukuh keupayaan integrasi menegak, selain memastikan akses kepada produk dan perkhidmatan penjagaan kesihatan lebih mudah dicapai masyarakat di seluruh Malaysia.

Daripada jumlah hasil IPO, sebanyak RM570.7 juta, iaitu 89.5 peratus diperuntukkan untuk pembayaran balik pinjaman bank dalam tempoh tiga bulan selepas penyenaraian, manakala RM30 juta atau 4.7 peratus akan digunakan bagi pembinaan pusat pengedaran baharu dalam tempoh 36 bulan selepas penyenaraian.

Baki 37.1 juta ataupun 5.8 peratus pula akan digunakan untuk membiayai yuran dan perbelanjaan penyenaraian.

Sementara itu, mengulas mengenai pembayaran balik pinjaman bank, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan BCG, Chin Shin Yi, berkata BCG menjangkakan penjimatan kos faedah RM26.3 juta setahun susulan pembayaran balik pinjaman bank menggunakan hasil IPO.

Katanya, ini berdasarkan purata kos pinjaman 4.6 peratus bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.

“Langkah itu juga dijangka mengurangkan nisbah penggearan kumpulan daripada 2.8 kali setakat 31 Ogos 2026 kepada sedikit di bawah satu kali selepas pembayaran balik pinjaman kira-kira RM500 juta,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran prospektus itu.

Beliau menambah, pembinaan pusat pengedaran baharu daripada RM30 juta IPO itu bertujuan meningkatkan kapasiti operasi kumpulan berikutan pusat pengedaran sedia ada di Bukit Raja mencatatkan kadar penggunaan 80.2 peratus setakat 30 September 2026.

Katanya, lokasi tepat pusat pengedaran baharu itu belum dimuktamadkan, namun ia dijangka terletak berhampiran pusat pengedaran sedia ada.

Kumpulan itu turut menyasarkan nisbah pembayaran dividen sehingga 50 peratus daripada keuntungan bersih selepas cukai yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat (PATAMI), tertakluk kepada kedudukan tunai, tahap hutang, pulangan ekuiti, keperluan perbelanjaan modal dan modal kerja serta faktor berkaitan lain.

Bagi tahun kewangan 2026, BCG merekodkan hasil RM4.02 bilion, meningkat 17.9 peratus daripada RM3.41 bilion pada tahun kewangan 2025, manakala PATAMI meningkat 56.7 peratus kepada RM191.6 juta daripada RM122.3 juta sebelumnya.

Permohonan bagi bahagian terbitan awam dibuka mulai semalam dan akan ditutup pada jam 5 petang, 5 November 2026.

Maybank Investment Bank Bhd dan RHB Investment Bank Bhd bertindak sebagai penasihat utama bersama, penyelaras global bersama, pengurus buku bersama, pengurus pengunderaitan bersama serta penaja jamin bersama bagi IPO berkenaan.

AmInvestment Bank Bhd turut bertindak sebagai penasihat utama bersama, penyelaras global bersama, pengurus buku bersama dan penaja jamin bersama, manakala UBS Securities Malaysia Sdn Bhd dan UBS AG, Singapore Branch ialah penyelaras global bersama serta pengurus buku bersama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top