Tiada lagi 'autoplay' tanpa had: Kerajaan cadang kuat kuasa had masa skrin automatik untuk kanak-kanak

Tiada lagi 'autoplay' tanpa had: Kerajaan cadang kuat kuasa had masa skrin automatik untuk kanak-kanak

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan sedang mengadakan perbincangan dengan platform dalam talian untuk memperkenalkan had masa skrin automatik bagi kanak-kanak, termasuk rehat wajib selepas penggunaan berpanjangan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata beliau dan rakan sejawatnya dari beberapa negara ASEAN sedang membincangkan kaedah untuk mengaktifkan had berkenaan secara lalai, tanpa memerlukan ibu bapa mengaktifkannya sendiri.

“Sebagai contoh, kanak-kanak yang menonton YouTube Shorts boleh dihadkan kepada sejam, lepas itu, mereka perlu berehat seketika.

“Kita harap semua platform yang mempunyai ‘autoplay’ boleh meletakkan had masa penggunaan supaya anak-anak boleh berehat,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Katanya, had masa itu boleh ditetapkan mengikut keperluan pengguna.

Beliau bagaimanapun, tidak menyatakan bila langkah yang dicadangkan itu akan diperkenalkan atau sama ada sebarang persetujuan sudah dicapai dengan platform berkenaan.

Fahmi berkata, kerajaan peruntukan RM58.7 juta bagi Kempen Internet Selamat di bawah Belanjawan 2027 turut digunakan untuk membiayai program bagi mendidik ibu bapa, penjaga dan guru mengenai langkah melindungi kanak-kanak daripada ancaman dalam talian.

Katanya, ibu bapa tidak menyedari mereka boleh menggunakan ciri kawalan ibu bapa sedia ada pada peranti untuk mengehadkan masa skrin anak-anak.

Menyentuh berhubung keselamatan permainan dalam talian, termasuk Roblox, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), sedang melakukan kajian terhadap perkembangan risiko dan langkah perlindungan yang bersesuaian.

Katanya, MCMC turut meneliti pendekatan dan amalan antarabangsa bagi mengenal pasti langkah keselamatan yang berkesan.

“Pada masa sama, CMCF melaksanakan rundingan awam bagi membangunkan subkod permainan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top