Bila sudah dikasihi Allah…

DALAM sebuah Hadis, Rasulullah S.A.W menceritakan perihal tujuh kumpulan yang dijanjikan teduhan ‘Arasy pada Hari Kiamat yang dahsyat lagi menggerunkan. Salah satunya:

ورجل تصدق بصدقة فأخفاها حتى لا تعلم شماله ما تنفق يمينه

“Dan seorang lelaki (atau perempuan) yang bersedekah, lalu menyembunyikan sedekahnya. Hingga tangan kirinya sendiri tidak mengetahui apa yang diinfakkan tangan kanannya (metafora betapa sedekah tersebut ditutup dari pandangan manusia).”

(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Baru kelmarin kita menerima khabar duka pemergian seorang saudara kita, Siti Sarah Raissuddin akibat COVID-19. Cerita kebaikan dan kedermawanan arwah, pantas mengiringi khabar kewafatannya. Mudah-mudahan beliau dan kita semua tergolong dalam kelompok yang beroleh naungan ‘Arasy Allah.

Tumpang syukur melihat saudara kita Sarah yang di akhir usia beliau mendapat perhatian, kasih sayang dan keprihatinan saudara-saudara se-Islam. 

Ketika sedang sakit, beliau didoakan kesembuhan, setelah wafat pula didoakan keampunan oleh orang ramai. Bukan sahaja didoakan saudara-saudara di Malaysia, bahkan saudara Muslim berbeza bangsa di luar negara.

Kisah-kisah kebaikan arwah disebut ramai orang, yang selama ini barangkali pasangan serumahnya pun tidak mengetahui amal kebaikan tersebut. Di sebalik kematian beliau, mengingatkan kita akan wasiat Nabi S.A.W yang satu lagi:

إنما الأعمال بالخواتيم.

“Sesungguhnya setiap amalan itu tergantung pada pengakhirannya.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari) 

Jika Allah mengasihi seseorang, pasti Allah bimbing sebelum berakhir perjalanan hidupnya di dunia ini. Sabda Nabi S.A.W:

وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدٍ خَيْراً اسْتَعْمَلَهُ قَبْلَ مَوْتِهِ

“Jika Allah mahukan kebaikan buat seorang hamba, Allah akan menunjukinya sebelum saat kematian.”

Ketika Rasulullah ditanya para Sahabat, apakah maksud Allah menunjukinya? Baginda S.A.W menjawab:

يُوَفِّقُهُ لِعَمَلٍ صَالِحٍ ثُمَّ يَقْبِضُهُ عَلَيْهِ

“Hamba tersebut diberikan taufiq, kekuatan untuk beramal soleh, lalu Allah mengambil nyawanya dalam keadaan yang baik-baik seperti itu.”

(Hadis Riwayat Ahmad)

Tidak akan rugi orang yang sedekahnya diterima Allah. Yakin.

SOFIA ALWANI ALI – HARAKAHDAILY 11/8/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000386455844/posts/4405897952766376/

The post Bila sudah dikasihi Allah… appeared first on HarakahDaily.