Bimbang pembelajaran, persekolahan anak

Bimbang pembelajaran, persekolahan anak

fahmy.azril@bh.com.my

Subang Jaya: Sebak hati seorang ibu apabila buku yang dibeli anaknya sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) habis dijilat api dalam kebakaran paip gas di Putra Heights, baru-baru ini.

Zuraida Zaibidin, 46, mengakui risau dengan keadaan yang menimpa keluarganya ketika ini, lagi-lagi anaknya yang bakal menduduki SPM tahun ini.

Ibu kepada dua cahaya mata itu kelihatan menitiskan air mata ketika menceritakan nasib dihadapi kerana dia sekeluarga hanya tinggal sehelai sepinggang.

Dia juga tidak menolak kemungkinan kejadian itu membuatkan anak-anaknya tidak hadir ke sekolah pada Isnin ini kerana belum bersedia ekoran masih trauma dengan apa yang berlaku.

“Saya ada dua orang anak. Seorang di Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alam Mega dan seorang lagi Darjah Tiga di Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 27(2).

“Tahun ini anak yang di Tingkatan Lima itu akan menduduki SPM. Dia sudah beli buku untuk persediaan menghadapi peperiksaan itu.

“Tetapi rumah yang kami tinggal di Kampung Kuala Sungai Baru habis musnah teruk dalam kebakaran baru-baru ini. Habis semua termasuk buku-buku yang dibeli oleh anak saya.

“Memang tak ada apa-apa langsung yang tinggal buat kami sekeluarga. Habis semuanya hangus dan rumah hanya tinggal rangka,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Masjid Putra Heights di sini, hari ini.

Seorang lagi mangsa mengakui bimbang dengan perkembangan pembelajaran tiga anaknya yang masih bersekolah selepas kediaman mereka di Kampung Kuala Sungai Baru musnah teruk.

Mohd Zaidi Hussein, 43, berkata, tiada apa yang tinggal di rumahnya termasuk pakaian dan kelengkapan sekolah anaknya kerana semuanya habis dijilat api.

Penjawat awam itu juga tidak menolak kejadian yang menimpa membuatkan emosi dia sekeluarga khususnya anak-anaknya terganggu.

“Tak tahulah… Rumah pun tak ada, habis rosak teruk. Anak saya ada yang melecur di bahagian kaki. Mungkin akan bercuti panjang.

“Saya sebenarnya bimbang dengan sukatan pembelajaran anak-anak. Anak berumur 10 tahun belajar di SK USJ20, seorang di tahfiz dan yang sulung berumur 16 tahun di Kolej Vokasional (KV) Rembau.

“Kita tak tahu macam mana sekarang. Rumah kita pun kita tak tahu macam mana. Masih lagi berdolak-dalih lagi (nak hantar anak ke sekolah). Selagi tak dapat rumah, selagi itu tak boleh buat apa-apa. Rumah musnah, kenderaan semua pun hangus,” katanya.

Bagi seorang lagi mangsa kebakaran paip gas yang tinggal di Kampung Kuala Sungai Baru, Christopher Abin berkata, kediamannya hanya mengalami sedikit kerosakan.

Justeru, pekerja swasta yang berumur 46 tahun mengakui tidak berdepan masalah untuk anaknya kembali ke sekolah pada Isnin ini.

“Rumah yang kami duduki tidak rosak teruk. Jadi saya rasa tidak ada masalah sebab anak saya pun seorang yang bersekolah.

“Dengan keadaan rumah saya yang tidak teruk, kami sekeluarga sudah boleh pulang. Insya-Allah, baju sekolah semuanya okay. Tidak ada masalah untuk lakukan persediaan ke sekolah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top