Bimbang ugutan dan provokasi, DAP sedia turun padang jika penduduk diganggu

Bimbang ugutan dan provokasi, DAP sedia turun padang jika penduduk diganggu

am@hmetro.com.my

Kepala Batas: Bimbang tercetus ugutan dan provokasi, DAP Pulau Pinang bersedia turun ke lapangan untuk berdepan mana-mana pihak yang mengganggu penduduk berhubung isu bendera terbalik membabitkan sebuah kedai perkakasan di sini, baru-baru ini.

Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim berkata, isu berkenaan sudah diserahkan sepenuhnya kepada polis untuk disiasat dan diurus mengikut undang-undang, justeru tiada ruang untuk mana-mana pihak ketiga mengambil kesempatan atau mengapi-apikan keadaan.

“Sekiranya ada pihak yang hadir untuk mengugut atau mengganggu penduduk Pulau Pinang dalam isu ini, DAP Pulau Pinang akan turun ke lapangan, berdiri bersama rakyat, menyambut puak yang membuat provokasi dengan mengedarkan Jalur Gemilang sebagai simbol perpaduan dan kasih sayang kepada negara.

“Jalan ke hadapan bukanlah melalui keganasan, provokasi perkauman atau maki hamun, tetapi melalui tekad bersama setiap rakyat Malaysia, tidak kira kaum dan agama, untuk memelihara perpaduan, mengukuhkan keharmonian, dan menyuburkan rasa cinta kepada tanah air tercinta, Malaysia,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata, DAP Pulau Pinang teguh mempertahankan keamanan dan keharmonian negeri selaras dengan semangat patriotisme yang menjadi kebanggaan semua.

Harian Metro Sabtu lalu melaporkan pemilik premis perkakasan terbabit sudah membuat permohonan maaf dan mengakui kesilapannya sehingga mencetuskan rasa kurang senang masyarakat.

Insiden itu tular selepas rakaman video berdurasi 21 saat memaparkan tindakan pemilik kedai mengibarkan Jalur Gemilang yang dipasang pada sebatang besi dalam keadaan terbalik sebelum seorang pekerjanya merakam aksi berkenaan.

Perbuatan itu mencetuskan pelbagai reaksi warganet yang mahu tindakan diambil susulan kejadian seumpama itu dilihat semakin menjadi-jadi terutamanya ketika negara bakal menyambut Hari Kemerdekaan ke-68.

Siasatan kes itu kini dijalankan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top