Bimbingan agama cetus hidup sejahtera

Bimbingan agama cetus hidup sejahtera

Orang berakal ialah orang yang mengekang akalnya daripada semua perkara yang tercela.’

Siapakah yang pernah melontarkan kata-kata yang penuh dengan hikmah itu? Banyak aspek yang perlu kita hadam dengan bersungguh-sungguh berkenaan ungkapan kata berkenaan demi menjadikannya sebagai pedoman bermanfaat dalam kehidupan.

Tidak lain, yang menyebut kata-kata tersebut ialah seorang ilmuwan Islam tidak asing yang diberikan jolokan sebagai, ‘Pembela Sunah dan hadis.’ Beliau ialah Muhammad bin Idris bin al-Abbas bin Uthman bin Syafii bin as-Sa’ib bin Ubaid bin Abu Yazid bin Hasyim bin al-Muattalib bin Abdul Manaf.

Itu nama penuh bagi Imam asy-Syafii yang jelas berdasarkan susur galur nasab itu mempunyai akar umbi dalam kekeluargaan Rasulullah SAW. Malah, As-Sa’ib bin Ubaid, iaitu datuk asy-Syafii adalah seorang sahabat Rasulullah SAW yang dikatakan bermirip wajahnya dengan baginda.

Kita yang berada di Nusantara ini pengamal kepada mazhab yang dibawa olehnya.

Berbalik kepada topik perbincangan berkenaan pengertian yang cuba diluahkan oleh Imam asy-Syafii tadi. Akal adalah anugerah Allah yang paling bernilai yang tidak dikurniakan-Nya kepada makhluk lain, baik malaikat, haiwan mahupun kepada apa sahaja yang diciptakan-Nya. Dengan adanya anugerah akal itulah faktor utama Allah menjadikan Nabi Adam AS dan keturunannya sebagai khalifah Allah di muka bumi.

Semenjak bermulanya penciptaan Nabi Adam AS hinggalah ke zaman manusia serba moden hari ini, akallah yang menunjangi kemajuan kehidupan. Berpaksikan kepada kekuatan akal membolehkan manusia mencipta dan melakukan pelbagai perubahan dalam mencorak rupa bentuk kehidupan yang semakin baik dari semasa ke semasa.

Kemajuan dan kemodenan kehidupan manusia di muka bumi ini tidak pernah terhenti, malah sentiasa melalui begitu banyak perubahan yang semuanya berlaku atas faktor kecerdikan akal manusia.

Era prasejarah yang selanjut membawa kepada era revolusi perindustrian memberi petanda jelas bahawa kehidupan manusia banyak dicorakkan oleh kecerdikan dan kecerdasan akal fikiran dianugerahkan Allah.

Cuma sayangnya kecerdasan dan kecerdikan akal fikiran yang bertaraf minda genius ada kalanya dijuruskan kepada perekaan peralatan yang merosakkan manusia kepada kehidupan yang memudaratkan. Sesungguhnya Islam memuji setinggi-tingginya apa sahaja kemajuan yang diusahakan oleh manusia hingga masa kini kita mampu menjalani kehidupan dalam serba mudah, namun pada masa sama kita juga menggeleng kepala apabila menyaksikan banyak kerosakan dibawa oleh kecerdikan akal.

Sebab itulah, Imam asy-Syafii awal-awal lagi memperingatkan kita supaya mengekang akal daripada terjebak kepada usaha yang membawa kemaksiatan dan kemungkaran. Sesungguhnya akal tanpa berpandukan kepada ajaran agama memungkinkan banyak kerosakan berlaku.

Kita boleh saksikan sendiri di hadapan mata kerosakan demi kerosakan telah dan sedang berlaku dilakukan oleh manusia. Ada ketikanya akal manusia sudah hilang pertimbangan sehingga dengan mudah hilang pedoman dalam memilih antara yang baik dan buruk.

Akal manusia tetap masih kekal berfungsi dan tidak hilang seni berfikirnya, tetapi penggunaannya tetap perlu kepada panduan agama.

Tanpa agama, minda yang cerdik setinggi mana sekalipun akan tetap membawa kerosakan dalam kehidupan. Kehidupan dalam bersosial sahaja sudah cukup membuatkan kita terkelu lisan apabila banyak insiden yang berbentuk mungkar dilakukan sewenang-wenangnya tanpa segan silu. Pantang larang, tegahan Allah sudah tidak ‘tercetak’ lagi dalam akal dan jiwa sebaliknya, segala tingkah laku dicorakkan berasaskan hawa nafsu semata-mata sehingga hubungan sosial sudah tidak seharmoni dahulu lagi.

Justeru, demi mengembalikan semula keindahan kehidupan di muka bumi, manusia sepatutnya berpijak kukuh kepada pegangan tauhid yang benar. Kita umat Islam semestinya menjadi peneraju kepada terbinanya kehidupan manusia terbaik dengan ekosistem sosial dan negara yang harmoni.

Kita umat Islam sepatutnya mampu membuka mata umat lain bahawa akal fkiran berminda utuh dengan bersendikan pegangan agama berkeupayaan mengubah kehidupan kepada suasana yang lebih baik.

Api permusuhan sesama manusia yang telah dan sedang marak berlaku di muka bumi hari ini sebenarnya tidak lain disebabkan akal manusia yang dipesongkan oleh kehendak gejolak hawa nafsu yang membuak-buak untuk kepentingan individu sahaja.

Akal minda bersemi pegangan agama yang benar lagi kukuh pasti menyukai kebaikan dan kemakmuran bersama. Akal secara fitrahnya pasti mahukan manusia menuju kepada kehidupan yang dibenarkan Allah, namun manusia sering kali tewas kepada kehendak nafsu.

Kini kita lihat manusia lebih memanjakan kehendak hawa nafsu tanpa sebarang kawalan lalu apa sahaja yang dilakukan seakan-akan jauh daripada ketepatan ajaran agama. Harta dan rezeki sepatutnya dicari secara halal dan benar menuruti lunas ajaran agama, tetapi sekarang lebih banyak dipesongkan oleh hawa nafsu, lalu terjadilah pelbagai bentuk pencarian sumber kehidupan yang terlarang di sisi agama.

Menjadi apa pun kita hari ini, akal minda mesti berpijak kepada aturan agama yang benar. Usah sama sekali kita gadaikan keutuhan akal anugerah Allah untuk merosakkan kehidupan
sendiri, apatah lagi sehingga memudaratkan insan lain.

Jadilah kita umat Islam berakal waras yang bijaksana demi manfaat diri sendiri dan ummah keseluruhannya.

Sememangnya kita patut bersyukur kerana Imam asy-Syafii yang juga anak murid kepada imam tersohor, Malik bin Anas sebagai ilmuwan terbilang yang memberi sumbangan dan jasa dalam mencetuskan keilmuan tinggi kepada masyarakat Islam.

Semoga kita kembali menjadi umat terbilang yang berjaya menerajui kehidupan manusia dengan imej suci murni selari ajaran Ilahi.

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top