Bin Shen perkuat kejurulatihan badminton negara

Kuala Lumpur: Tan Bin Shen, 36 bakal memperkuatkan kejurulatihan skuad badminton negara dengan kepulangannya semalam.

Bekas pemenang pingat gangsa Kejohanan Asia itu akan membantu ketua jurulatih, Flandy Limpele dalam bahagian beregu lelaki.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann percaya bahawa pengalaman yang dimiliki Flandy sangat penting namun pendekatan komunikasi berkesan yang Bin Shen miliki akan saling melengkapi.

“Matlamat kami adalah untuk merapatkan jurang atau menyamai barisan pemain utama dunia. Bin Shen akan tiba lebih awal untuk menyesuaikan diri dengan pasukan yang bakal menyertai Sirkit Asia di Thailand tidak lama lagi”, katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam pada itu, bahagian beregu wanita pula memperlihatkan Chan Chong Ming bakal bergandingan dengan Hoon Thien How.

Sebelum ini, BAM telah membuat keputusan untuk tidak menyambung kontrak tiga jurulatih kebangsaan iaitu Rosman Razak, Chin Eei Hui dan Wong Pei Tty setelah keputusan cemerlang gagal diberikan.

Sumber: UM

Akmal Hakim
Sports Desk