Pahang: Khidmat Dollah Salleh masih ditagih Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) bagi musim kelimanya sejak pulang bersama pasukan itu pada tahun 2017.
Walau bagaimanapun, pengurus Sri Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang, memberi bayangan bahawa PBNP akan mengekalkan Dollah Salleh bagi membawa peranan berlainan dalam saingan Liga Malaysia 2021.
“Kami sebenarnya sedang menilai jurulatih terutama dari luar negara untuk mengepalai barisan kejurulatihan Pahang. Kami akan ketahuinya selepas penilaian dibuat dalam masa terdekat”, katanya.
“Dollah akan kekal di Pahang dan sekiranya berlaku kehadiran jurulatih dari luar negara bersama Sri Pahang kelak, In sha Allah akan membuahkan perancangan terbaik bagi pasukan”, katanya kepada wakil Astro Arena, Syakirah Zulkifly dalam Kongres Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kali keempat di Hotel Marriot pada hari ini.
Begitupun, Suffian pada masa sama tidak menafikan bahawa jurulatih dari Jerman, Thomas Dooley juga berada di bawah radar Sri Pahang.
PBNP memerlukan lebih masa bagi menilai dengan teliti beberapa calon lagi kerana enggan terburu-buru.
“Ramai yang ingin menjadi jurulatih pasukan Sri Pahang. Seperti diketahui umum, beberapa nama besar telah menghantar permohonan masing-masing dan kami sedang menilai”, katanya lagi.
Sumber: Sport Malaya
Akmal Hakim
Sports Desk